fbpx
Banjir yang melanda Rantau Panjang semasa musim tengkujuh pada Disember tahun lalu. - GAMBAR HIASAN

Kelantan sedia lebih 19,000 aset, 459 PPS hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan menambah jumlah aset daripada 17,147 kepada 19,619 buah aset sebagai persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula November ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, penambahan aset-aset itu terdiri daripada kenderaan, jentera, bot, khemah kubik, genset dan peralatan-peralatan lain.

Menurutnya, sebanyak 459 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dikenal pasti untuk menampung lebih daripada 186,440 orang mangsa berbanding 214 PPS dibuka pada tahun lalu.

“Sebuah depot simpanan keperluan bencana, 17 stor bencana dan lebih 160 pengkalan hadapan di seluruh negeri yang diurus oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat disediakan untuk memastikan bekalan makanan termasuk keperluan asas mencukupi semasa banjir.

“Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran telah mempersiapkan sebanyak 108 buah stesen telemetri hujan dan aras air, siren amaran banjir (59 buah), tolok arus (117 buah), kamera web (5 buah), pam bergerak (137 buah), kolam takungan pemantauan (4) dan sebuah empangan pertanian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Nassuruddin memberitahu, seramai 7,209 anggota yang terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia termasuk 10 agensi lain turut bersiap sedia.

Menurutnya, jumlah itu juga ditambah berbanding seramai 7,147 orang pada tahun lalu.

“Kerajaan negeri memandang serius mengenai ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Kelantan dijangka menerima hujan lebat bermula November hingga Februari tahun depan.

“Kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat Kelantan sepanjang musim tengkujuh sentiasa menjadi keutamaan kerajaan untuk
dilaksanakan secara bersepadu antara agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri,” ujarnya.

Tambahnya Mohd. Nassuruddin, beliau juga menyeru semua rakyat Kelantan untuk bersama-sama memohon kepada Allah
SWT dengan mengadakan solat hajat agar mengurniakan kesejahteraan agar negeri ini dijauhi daripada segala musibah yang tidak diingini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN