fbpx
MAIS menerima maklumat terdapat dalam kala­ngan ahli GISBH yang berkahwin menggunakan ‘cara’ tersendiri dan sebahagiannya tidak berdaftar dengan JAIS. - GAMBAR HIASAN

Nikah 4 tapi nak jumpa bini kena minta restu pemimpin GISBH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ahli-ahli GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) yang diberi keistimewaan untuk berkahwin ramai hanya dibenarkan berjumpa dengan isteri masing-masing selepas mendapat restu daripada pemimpin atasan kumpulan itu.

Selain itu, anak yang dilahirkan pula hanya boleh bersama ibunya selama dua tahun untuk proses penyusuan sebelum kanak-kanak itu ditempatkan di rumah amal.

Perkara itu antara isu yang dibongkar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hasil pendedahan dibuat sendiri oleh bekas ahli kumpulan tersebut.

Menurut Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, daripada maklumat yang diperoleh pihaknya, ada dalam kala­ngan ahli GISBH yang berkahwin menggunakan ‘cara’ tersendiri dan sebahagiannya tidak berdaftar dengan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor).

“Malah, ada yang sudah mengandung baru datang JAIS untuk mendaftar perkahwinan. Keba­nyakan mereka ini (ahli kumpulan GISBH) akan mempunyai empat orang isteri dalam satu-satu masa.

“Ini salah satu ‘inisiatif’ (kahwin empat) yang menarik minat kaum lelaki untuk menyertai kumpulan ini,” katanya ketika diwawancara secara eksklusif oleh Kosmo! baru-baru ini.

Dedah Abdul Aziz lagi, meskipun diberikan keistimewaan berkahwin ramai, pasangan suami isteri ini akan diasingkan dan hanya boleh berjumpa apabila mendapat restu daripada pe­mimpin atasan kumpulan.

“Suami satu asrama, isteri satu asrama. Lain-lain tempat tinggal dan yang akan menentukan bila mereka boleh berjumpa adalah ahli lembaga pengarah (pemimpin tertinggi kumpulan).

“Kalau mereka (pasangan suami isteri) mengikut peraturan akan selalulah dapat berjumpa. Kalau melanggar peraturan, jarang berjumpa. Perkara ini jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam kerana suami isteri perlu tinggal sebumbung kecuali bertugas (urusan kerja).

“Kumpulan ini juga terapkan amalan yang isteri tidak perlu taat kepada suami, dan suami juga tidak perlu taat kepada isteri. Anak-anak juga tidak perlu taat kepada ibu bapa, sebaliknya mereka hanya perlu taat kepada pemimpin,” katanya.

Beliau memberitahu, antara perkara paling mengejutkan ialah mana-mana anak yang dilahirkan oleh ahli GISBH hanya dibenarkan bersama selama dua tahun untuk proses penyusuan sebelum ditempatkan di rumah amal.

“Yang ada di rumah amal yang kita serbu itu semuanya ada ibu dan bapa dan bukannya anak yatim. Mereka menggunakan kanak-kanak itu untuk meraih simpati serta mengutip derma.

“Bila orang ramai tengok rumah tersebut ramai kanak-kanak yang kononya ‘anak yatim’, ramailah kesian dan beri sumba­ngan. Hasil sumbangan ini kemudiannya disalurkan kepada GISBH,” katanya sambil membe­ritahu kesemua rumah amal itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut mendedahkan, sekiranya sudah terjebak dengan kumpulan ini, agak susah seseorang individu itu keluar ‘melarikan diri’.

“Mereka (GISBH) akan cari balik. Katakan jika berjaya me­larikan diri sekali pun, anak-anak atau isteri yang masih berada dalam kawalan kumpulan itu akan teruk ‘dikerjakan’.

“Akhirnya, ada bekas ahli terpaksa kembali menyertai kumpulan itu semula,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! Ahad semalam melaporkan, penggunaan ‘satu pusingan Aurad Muhammadiah’ sebagai mas kahwin atau mahar yang digunakan oleh pengikut GISBH ketika akad nikah dihukumkan sebagai haram kerana bukan sahaja bercanggah dengan hukum syarak, malah wirid itu sendiri telah difatwakan terpesong daripada ajaran Islam.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman menegaskan, mas kahwin ditakrifkan sebagai apa-apa sahaja yang bermanfaat dan berfaedah serta mempunyai nilai sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN