LOKASI rumah Sabari (gambar) tempat mangsa di samun di Baling.

‘Intip’ Sabari 5 bulan sebelum samun, buang dalam sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Samun dipercayai motif pembunuhan kejam pesara Felcra, Sabari Baharom yang dicampak hidup-hidup ke dalam Sungai Padang Terap di Wang Tepus di sini.

Mangsa berusia 62 tahun itu diserang suspek ketika berada di rumahnya seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dekat sini.

Ketika kejadian, Sabari tidak melawan dan menurut segala kemahuan suspek termasuk memberi wang serta kad bank.

Bagaimanapun difahamkan, suspek dipercayai terpaksa melarikan Sabari apabila mangsa ternampak wajah suspek yang dikenalinya sebelum keretanya dibakar.

Anak bongsu mangsa, Muhammad Amir Hakimi, 25, berkata, dia tidak menolak kemungkinan suspek telah memerhatikan ge­rak-geri bapanya sepanjang berada di situ selama kira-kira lima bulan.

Katanya, suspek terbabit me­rupakan kontraktor pembinaan rumah di tapak berhampiran.

“Kalau nak kata terancang, saya pun tidak pasti, tetapi nampak macam terancang sebab dia mai (datang) tunggu ayah saya kat situ (rumah). Saya rasa dia dah lama pantau sebab ayah saya hari-hari lalu di situ.

“Mungkin dia nampak ayah seorang dan dia tahu kami datang hujung minggu. Kalau hujung minggu ada orang, hari biasa tak ada orang. Empat lima bulan dia boleh tengok, lama masa dia boleh tengok bagaimana jadual ayah saya,” katanya.

PEMANDANGAN udara keadaan Sungai Padang Terap, Kampung Lubuk Batu, Jitra yang menjadi lokasi pencarian jasad Sabari yang dicampak hidup-hidup di sungai itu. – SHAHIR NOORDIN

Ujarnya, suspek juga pernah ke rumah dan bapa melayannya dengan baik termasuk memberi buah-buahan kepadanya untuk dimakan.

Sementara itu, katanya, pada awal kehilangan bapanya, dia pernah mengesyaki kehilangan bapanya angkara seorang buruh pembinaan warga asing yang bekerja dengan
suspek.

“Mula-mula saya ingat pekerja asing sebab dia menghilangkan diri, tetapi rupa-rupanya dia lari sebab tidak dibayar gaji.

“Tidak lama kemudian, pemilik rumah berkenaan mendapati kontraktor itu juga hilang dan mematikan telefon selepas kerja-kerja pembinaan rumah belum disiapkan.

“Siasatan polis kemudian berjaya menahan suspek yang me­ngaku buat benda itu,” ujarnya.

Tambahnya, kampung bapa­nya itu selama ini aman dan tidak pernah berlaku jenayah kejam.
“Dia (suspek) bukan penduduk di situ, dia orang Jitra. Mungkin dia datang ke sini sebab dah biasa ke sini,” dakwanya.

Dalam pada itu, jiran mangsa, Mohd. Sukeri Karim, 61, berkata, dia pernah bertemu suspek yang menjalankan kerja-kerja pembinaan rumah milik anak saudaranya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah.
Katanya, suspek juga pernah datang ke rumahnya untuk ber­kenalan ketika mahu memulakan pembinaan kediaman tersebut pada tahun lalu.

SUASANA sunyi di sekitar rumah Sabari di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling.

“Anak saudara saya pernah bawanya sekali sahaja ke rumah masa mula-mula nak buat rumah itu. Saya nampak dia okey sahaja, nampak baik juga, tetapi tidak sangka boleh jadi macam itu.

“Selepas itu saya tak pernah jumpa dia, cuma nampak kereta dia sahaja dari jauh,” ujarnya.
Tambahnya, dia dan isteri hidup ketakutan selepas insiden yang menimpa Sabari kerana rumahnya dengan kediaman mang­sa adalah paling hampir iaitu kurang 50 meter.

“Rumah jiran lain yang paling hampir pula adalah kira-kira 100 meter. Rumah saya ini paling hujung dan jalan mati, belakang rumah cuma ada kebun getah.

“Anak-anak saya kini bercadang untuk memasang televisyen litar tertutup (CCTV) berikutan kedudukan rumah kami paling hujung di belakang,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan Sabari dibunuh kejam dengan dicampak hidup-hidup ke dalam Sungai Padang Terap, malah ta­ngannya turut diikat selain mulutnya ditutup.

Ia terbongkar susulan penahanan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun pada Jumaat lalu. Suspek merupakan kontraktor, manakala seorang lagi anak saudara suspek terbabit.

Pembunuhan kejam itu dipercayai berlaku pada hari mangsa dilaporkan hilang iaitu pada 4 September lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN