JITRA – Kes pembunuhan seorang pesara Felcra, Sabari Baharom, 63, dikatakan dilakukan secara terancang apabila mangsa disahkan telah dicampak hidup-hidup ke dalam Sungai Padang Terap di Wang Tepus di sini.
Lebih meruntun hati apabila tangan Sabari turut diikat selain mulutnya ditutup menggunakan pita pelekat sebelum mangsa dibuang ke dalam sungai.
Insiden kejam itu dipercayai berlaku pada hari mangsa dilaporkan hilang iaitu pada 4 September lalu.
Ia terbongkar susulan penahanan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 26 dan 38 tahun pada Jumaat lalu.
Suspek merupakan kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembinaan sebuah rumah berhampiran kediaman Sabari di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang di Baling dekat sini.
Seorang lagi suspek merupakan anak saudara kepada kontraktor tersebut.
Susulan pengakuan dua suspek itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Unit Selam Pasukan Polis Marin, Jabatan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) serta bomba dan agensi berkaitan telah melakukan operasi pencarian mangsa di sungai berkenaan bermula kelmarin.
Operasi pencarian bagaimanapun berdepan kesukaran berikutan mangsa dicampak sejak hampir sebulan lalu selain jajaran Sungai Padang Terap yang panjang dan bercabang.
Sungai berkenaan juga ketika ini berarus deras kerana merupakan antara lokasi terjejas banjir.
Polis kelmarin mengesahkan Sabari telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di sini dengan tangannya diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, jasad mangsa bagaimanapun belum dijumpai dengan usaha mencari sedang giat dijalankan di lokasi berkenaan.
Katanya, maklumat itu diperoleh hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang ditangkap pada Jumaat lalu.
“Hasil soal siasat ke atas dua lelaki tempatan yang ditahan, pengakuan telah dibuat bahawa mangsa dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, di Jitra.
“Mangsa dicampak dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kes Orang Hilang itu berjaya diselesaikan dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana kesalahan membunuh.
Sementara itu, operasi pencarian jasad Sabari diteruskan semalam menggunakan bot polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Operasi mencari dilakukan di sepanjang sungai termasuk di celah rimbunan pokok di kawasan tebing.
Difahamkan, pencarian dilakukan di sungai berkenaan dari Wang Tepus menghala Kepala Batas sejauh kira-kira 12.8 kilometer (km) serta dari Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang ke Tandop Chegar, di sini sejauh 7 km.
Terdahulu, Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang daripada akaun bank milik Sabari.
Kereta jenis Proton Waja dinaiki Sabari kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik dekat sini pada 20 September.














