fbpx
BEGINILAH keadaan sebuah lori yang terbalik selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 42, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak semalam.

Longlai lihat mayat terkulai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Luluh hati seorang lelaki apabila hanya mampu melihat jasad anak dan adiknya sudah terkulai selepas dia meredah laluan sesak dengan berjalan kaki lebih satu kilometer untuk pergi ke lokasi kemalangan yang meragut nyawa dua insan disayanginya itu.

Mohamad Zairi Shariff, 48, berkata, kemalangan pada pukul 3 pagi di Kilometer 42, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak itu mengorbankan anaknya, Muhamad Azizul Fitrie, 23, dan adiknya, Muhammad Zaimi, 35.

Katanya, kemalangan berlaku apabila lori dinaiki dua lelaki itu terlibat dengan kemalangan dengan sebuah treler membawa muatan tiang konkrit.

Kemalangan itu mengakibatkan seorang lagi pemandu kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Xpander, Mohd. Ridzuan Zulkafly, 36, turut maut.

“Sebelum kemalangan, saya menaiki sebuah trak pikap bersama dua anak saudara manakala Muhammad Azizul dan Muhammad Zaimi naik lori. Kami dalam perjalanan pulang ke Kelantan selepas melakukan kerja pe­ngubahsuaian kedai di Putrajaya.

Muhamad Azizul Fitrie (kanan) dan Muhamad Zaimi (kiri)

“Ketika itu saya telah sampai di Plaza Tol Bentong sebelum mendapat panggilan daripada orang awam memaklumkan anak dan adik saya terlibat kemala­ngan. Saya di hadapan sebab anak suruh saya jalan dulu,” katanya.

Menurut Muhamad Zairi, orang awam mendapat nombor telefonnya melalui tulisan pada pintu lori.

Tambahnya, dia kemudian pusing semula ke arah Kuala Lumpur sebelum menumpang kenderaan pihak penyelenggaraan kerana laluan sudah mula sesak.

“Saya ambil keputusan untuk turun kenderaan dan berjalan kaki lebih satu kilometer sebelum tiba di lokasi nahas. Bila sampai, keadaan kelam kabut dengan kedua-dua arah jalan dipenuhi tiang konkrit yang jatuh daripada treler,” katanya.

Ujar Muhamad Zairi, dia terus meluru dan mendapati lori remuk sebelum melihat mayat anak dan adiknya berada di tepi penghadang dan tengah jalan.

Katanya, ketika itu kedua-dua ahli keluarganya itu telah me­ninggal dunia akibat kecederaan parah.

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran selepas sebuah treler membawa muatan tiang konkrit terlibat dalam nahas dengan dua buah kenderaan.

“Ada saksi mengatakan lori dipandu adik dilanggar dari belakang oleh treler membawa tiang konkrit itu yang menyebabkannya kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum terbalik manakala kedua-duanya tercampak keluar,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Zulkifli Shariff, 52, berkata, dia yang berada di Kuala Lumpur sempat ke lokasi kejadian ketika mangsa masih berada
di situ.

Katanya, semasa sampai di tempat kejadian kedua-dua ­mangsa tidak sedarkan diri de­ngan keadaan pemandu lori me­ngalami kecederaan paling teruk.

“Saya diberitahu treler ber­kenaan dipercayai telah melanggar belakang lori sehingga lori itu melambung sebelum kenderaan berat itu menghimpit dan me­langgar penghadang jalan lalu terbakar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kemalangan itu melibatkan empat buah kereta, sebuah lori dan dua buah treler.

“Ia melibatkan sembilan lelaki dan empat perempuan. Kemalangan tersebut mengakibatkan sebuah lori treler terbakar 100 peratus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN