fbpx
KEJADIAN pokok tumbang kerap berlaku ketika musim hujan.

Hati-hati bila berjalan bawah pokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kejadian lebih 200 pokok tumbang yang berlaku di Pulau Pinang minggu lalu sehingga meragut nyawa mengejutkan ramai pihak.

Malah, ramai mengakui banjir akibat hujan lebat atau bumbung diterbangkan angin kencang bukan lagi ancaman utama, sebalik insiden pokok tumbang lebih berbahaya.

Penduduk orang Pulau Pinang juga dikatakan trauma setiap kali berada di jalan raya atau melalui jalan di bawah rimbunan pokok tua.

Ketua Eksekutif Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. Mageswari berkata, kelajuan angin luar biasa yang berlaku di negeri ini minggu lalu telah menyebabkan banyak pokok-pokok tumbang terutama yang sudah tua atau berakar lemah.

Menurutnya, terdapat banyak faktor lain yang boleh dikaitkan dengan kejadian pokok tumbang termasuk keadaan tanah, kesihatan akar pokok dan aktiviti manusia.

“Jika kita lihat, kebanyakan pokok berada di lokasi jalan yang berturap dan berdekatan longkang serta kawasan pembinaan bangunan berbanding sebelum ini, ketika pokok-pokok itu ditanam sebelum kawasan tersebut dinaik taraf.

“Sistem akar memainkan peranan penting untuk mencengkam tanah termasuk ketinggian pokok-pokok itu. Tetapi, apabila adanya pembangunan, jalan pun banyak diturap dan dilebarkan jadi kawasan pokok-pokok ini telah terganggu sehingga menyebabkan risiko tumbang.

“Kemungkinan juga akar-akar pokok sudah terpotong semasa kerja-kerja pembinaan mengakibatkan cengkaman akar dan kestabilannya sudah tidak kuat sehingga mudah ditiup angin,” katanya.

Dalam pada itu, Mageswari memberitahu, tahap kesihatan pokok juga kemungkinan menjadi faktor kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan di negeri ini termasuk di Seberang Perai.

“Perlu ada pemeriksaan kesihatan dan penyelenggaraan berkala pokok-pokok yang di tanam di negeri ini terutama di kawasan awam dan jalan raya.

“Mungkin dari segi struktur kayu dan sistem akarnya sudah lemah dan rosak. Mungkin boleh diganti atau ditanam semula dengan pokok-pokok yang bersesuaian di lokasi berkenaan,” ujarnya yang mengakui pemilihan spesies pokok dan lokasi pemindahannya juga penting untuk dikaji terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Mageswari tetap menyatakan pendirian CAP yang kekal mempertahankan penanaman pokok di Pulau Pinang.

“Ini bukan sahaja untuk manusia tapi sebagai tempat tinggal tempat bagi unggas dan haiwan,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihati pengguna supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika melintasi atau berada berhampiran pokok ketika cuaca buruk.

“Kita sendiri kena kawal pergerakan kita. Tak perlu nak cipta kandungan di media sosial yang mana kita sedar tindakan berada di lokasi berkenaan adalah berisiko dan boleh mengancam nyawa.

“Mungkin para pekerja juga boleh mendapatkan kebenaran daripada majikan untuk bekerja dari rumah ketika ketika cuaca buruk. Ini sekali gus dapat mengelak daripada kejadian tidak diingini berlaku,” jelasnya.

Bagi pendapat penulis pula, kejadian pokok tumbang adalah fenomena yang biasa, tetapi boleh mendatangkan bahaya kepada harta benda dan nyawa orang ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN