SEMPENA cuti sekolah pada minggu lalu, ramai ibu bapa yang mengambil kesempatan untuk membawa anak-anak bercuti bagi memberi keringanan kepada mereka.
Ada yang memilih untuk membawa anak-anak bercuti ke luar negara seperti Hatyai, Thailand. Tidak kurang juga yang menjadikan tempat-tempat menarik di dalam negara sebagai destinasi percutian.
Penulis juga tidak melepaskan peluang untuk membawa anak-anak bercuti. Memandangkan cuti agak terhad, maka penulis memilih untuk berkhemah di salah satu lokasi popular di Sungai Tua, Batu Cave, Selangor.
Memandangkan cuti umum, hampir semua lokasi tumpuan di kawasan tersebut dipenuhi orang ramai yang melakukan aktiviti berkhelah atau berkhemah bersama insan tersayang.
Cuba bayangkan, satu kawasan jeram sebesar lima meter persegi dipenuhi kira-kira hampir 20 orang, betapa ramainya manusia pada hari tersebut.
Disebabkan terlalu ramai pengunjung, penulis dapati ada segelintir individu mengabaikan aspek kebersihan seperti membuang lampin pakai buang dan sisa makanan di tepi sungai.
Ketika itu, penulis tidak ambil ‘pusing’ dengan kelakuan buruk yang dilakukan oleh segelintir pengunjung di situ.
Bagaimanapun, selepas sehari pulang ke rumah, baru penulis berasa geram dan marah dengan golongan yang tidak bertimbang rasa itu.
Apa tidaknya, tiga anak penulis mengalami muntah-muntah dan cirit-birit, selain badan menjadi panas seperti demam. Pada mulanya, penulis fikir, mereka ada tersalah makan ketika di sana.
Pada keesokan harinya, penulis dan isteri pula mengalami simptom sama. Badan betul-betul jadi lemah dan tidak bermaya. Disebabkan itu, kami sekeluarga pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Hasil pemeriksaan dilakukan, doktor mengesyaki kami terkena penyakit kencing tikus atau dikenali sebagai penyakit leptospirosis. Ia berpunca daripada jangkitan bakteria dikenali sebagai Leptospira.
Leptospirosis boleh dijangkit jika tersentuh air kencing atau cecair badan haiwan yang dijangkiti.
Selain itu, kita boleh dijangkiti bakteria tersebut melalui air atau tanah tercemar yang masuk ke dalam mata, hidung, mulut atau melalui luka pada kawasan kulit.
Satu lagi kemungkinan yang doktor beritahu, kami mungkin mendapat jangkitan virus lain disebabkan air sungai tercemar.
Selepas hampir tiga hari makan ubat antibiotik yang diberikan doktor, alhamdulillah kami sekeluarga kembali pulih. Disebabkan itu, penulis baru sedar betapa bahayanya penyakit bawaan air ini.
Memandangkan beberapa lokasi di Utara sedang mengalami banjir, penulis ingin menasihati mereka yang terjejas supaya sentiasa berwaspada dengan bakteria bawaan air.
Justeru itu, mangsa-mangsa banjir perlu perlu sentiasa mementingkan aspek kebersihan diri dan mengelak daripada mandi di dalam air bah seperti ‘pesta’.
Sekiranya air bah sudah surut, mereka disarankan untuk membersihkan rumah terutamanya perkakas dapur dan makan dengan teliti bagi mengelak terkena jangkitan bakteria bawaan air.















