fbpx
IMRAN tidak berasa gentar setiap kali tampil membuat persembahan di depan khalayak.

Aqif Imran pemain angklung cilik berbakat besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGAN kanak-kanak bernama Aqif Imran Hasan itu ligat menggoncang angklung untuk menghasilkan bunyi yang lembut dan bergema.

Riak wajah kanak-kanak berusia 10 tahun itu pula sentiasa fokus bagi memastikan setiap ‘note’ angklung seiring dengan muzik minus one (tanpa vokal) yang mengiringinya.

Biarpun set angklung yang digunakan Aqif Imran dua kali ganda lebih besar daripada saiz tubuhnya, namun dia mampu memainkan lagu Dawai lantunan Fadhilah dengan sempurna.

Kanak-kanak yang lebih mesra dengan panggilan Imran itu merupakan pemain angklung padaeng (solo) di Santika Hulu Langat, Kampung Jawa, Selangor.

Rata-rata penghuni di Santika Hulu Langat adalah pelancong yang berminat untuk menikmati suasana perkampungan etnik Jawa tersebut.

Lebih mengagumkan, keluarga Imran sanggup pulang ke Hulu Langat hampir setiap minggu bagi membolehkannya membuat persembahan angklung.

Hal ini kerana, mereka sekeluarga telah berpindah ke Terengganu atas tuntutan kerjaya ibunya.

Berkongsi berkenaan pengalamannya, Imran berkata, dia tidak mempunyai perasaan gentar setiap kali tampil membuat persembahan.

“Ketika bermain angklung, saya rasa seperti berada dalam dunia sendiri. Saya tidak merasai sebarang tekanan berhadapan dengan penonton.

“Namun, apabila orang mula tanya saya soalan berkenaan dengan kemahiran bermain angklung, saya terus jadi gugup,” katanya kepada K2.

Selain di Santika Hulu Langat, Imran juga pernah membuat persembahan di Selangor Children Bookfair 2024, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Sekolah Kebangsaan

Kompleks Tembesu, Radio Terengganu FM, Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, Selangor Children Bookfair 2023 dan Sekolah Kebangsaan Dusun Tua.

Imran membuat persembahan di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.

Bahkan, anak sulung daripada dua beradik itu juga sering membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan untuk dijadikan sebagai pendapatan sampingan.

Untuk makluman, bakat Imran mula dicungkil oleh bapanya ketika berusia sembilan tahun, setelah dia menunjukkan minat mendalam terhadap seni warisan asli itu.

Kini, Imran sudah mampu memainkan sebanyak 25 hingga ke 30 buah lagu daripada pelbagai genre.

Antaranya, genre klasik Melayu serta lagu kontemporari Melayu, Indonesia, Inggeris dan lagu-lagu trending.

Uniknya, pelajar Kompleks Tembesu, Kuala Terengganu itu tidak mahir membaca nota muzik seperti pemuzik lain.

Ini kerana, dia tidak pernah melalui pendidikan formal berkaitan muzik daripada mana-mana guru dalam bidang tersebut.

Namun kini, Imran memiliki kemahiran mendengar yang tajam sehingga mampu meniru muzik didengarinya dalam masa singkat.

Ujarnya, latihan intensif yang dilakukan bersama bapanya selepas sekolah membolehkannya mempelajari lagu-lagu baharu.

“Ayah memiliki kemahiran asas angklung, walaupun dia bukan pemain angklung secara profesional. Oleh itu, saya banyak belajar daripadanya.

“Dahulu, ayah suruh saya main 10 lagu pada setiap hari dan diulang sehingga saya hafal semua lagu itu.

“Sekarang, saya berlatih lima lagu sahaja setiap hari kerana sudah mahir main dan mudah ‘tangkap’,” ujarnya.

Untuk pengetahuan, angklung berasal dari Jawa Barat, Indonesia dan signifikan dalam kalangan masyarakat Sunda.

Alat muzik tersebut diperbuat daripada tiub buluh hitam yang dipasang pada bingkai buluh.

Setiap tiub dipotong dengan teliti untuk menghasilkan bunyi tertentu apabila digoncang atau dipukul.

Secara tradisional, angklung dimainkan dengan memegang bingkai pada sebelah tangan dan menggoncangnya menggunakan sebelah lagi tangan.

Dengan itu, tiub akan bergetar dan mengeluarkan bunyi yang halus dan menenangkan.

Di Malaysia, tradisi bermain angklung diamalkan oleh masyarakat berketurunan Jawa di Selangor dan Johor.

Terdapat lima jenis angklung iaitu sarinande, padaeng, toel, carehal dan reog.

Padaeng yang dimain Imran melibatkan seorang pemuzik tunggal yang memainkan melodi menggunakan angklung dengan susunan atas dan bawah.

Kaedah bermain angklung tersebut berbeza dengan angklung tradisional yang memerlukan ramai orang dengan setiap orang mengendalikan satu not sahaja.

Instrumen yang dimiliki Imran mempunyai 33 nada muzik, tiga lapisan oktaf dengan lapan not asas iaitu C, D, E, F, G, A, B dan C.

Harga satu set angklung adalah lingkungan RM1,000 hingga RM3,000.

Menurut bapa Imran, Hasan Muhamad Suyat, 35, cabaran bermain angklung padaeng adalah koordinasi tangan pemuzik yang perlu cekap mengejar tempo.

“Disebabkan kedudukan angklung padaeng adalah bertingkat iaitu atas dan bawah, tangan pemuzik berkemungkinan ‘berbelit’ sekiranya tidak mahir.

“Namun, Imran tidak memiliki masalah tersebut, malah mampu memainkan lagu tidak kira sama ada ia berentak laju atau perlahan,” ujarnya.

Sebagai bapa, Hasan bangga melihat bakat anaknya yang mula dihidu pelbagai pihak, sekali gus membolehkan Imran menerima pelbagai jemputan membuat persembahan.

Biarpun alat muzik tersebut bukanlah sesuatu yang lazim dalam industri seni Malaysia, namun bekas pengurus di Santika Hulu Langat itu tetap optimis dengan hala tuju anaknya.

Katanya, kekurangan bakat baharu yang mampu menjadi penyambung kepada warisan asli tersebut memudahkan anaknya bersinar.

“Pada asalnya, saya rancang dia buat persembahan di Santika Hulu Langat dan sekolah sahaja.

“Namun, apabila dia menunjukkan potensi, saya terfikir untuk berkolaborasi bersama Saung Angklung Udjo di Bandung, Indonesia.

“Ini bagi membolehkan dia mengetengahkan lagi bakat Imran.

“Di samping itu, langkah tersebut diharap mampu menarik lebih ramai anak muda meminati instrumen warisan ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN