GURU perlu memainkan peranan dengan menyediakan pedagogi yang kreatif kepada murid. – Gambar hiasan.

K2

Kurikulum dan guru berpisah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA membincangkan sistem pendidikan, jelas terdapat beberapa elemen yang membinanya. Antaranya seperti kurikulum, kokurikulum, pemimpin pendidikan, guru, sekolah, sistem persekolahan, sistem pentaksiran, sistem peperiksaan dan sebagainya.

Semua elemen yang membina sistem pendidikan saling berkait dalam menjadikan pendidikan berkualiti.

Oleh itu, pihak yang mempunyai peranan pada setiap elemen tersebut mesti berusaha meningkatkan dan menambah baik kualiti.

Untuk tujuan ini, personel yang terlibat dalam menguruskannya hendaklah berjiwa besar menerusi budaya kerja mementingkan pencapaian.

Bagi menghadapi dinamika pendidikan dan dunia yang berubah dengan pantas, elemen kurikulum serta guru amat signifikan terhadap proses pembelajaran.

Kurikulum yang dibina dengan standard tinggi dapat menjitukan proses pendidikan. Kurikulum perlu mengandungi ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai.

Dalam membina kurikulum, terdapat prinsip dan prosedur yang mesti dipatuhi iaitu bermula dengan sesi libat urus bersama-sama kumpulan masyarakat dan pemegang taruh bagi memperoleh komen serta pandangan.

Kurikulum yang dibina akan melalui proses perbandingan dengan kurikulum negara luar bagi memastikan standard seiring.

Kurikulum yang dibina juga perlu melalui proses rintis untuk dilihat kesesuaian dan kebolehlaksanaan.

Akhirnya, kurikulum yang dibina itu diperaku sebagai dokumen rasmi yang menjadi asas untuk membangunkan dan membina generasi bagi kehidupan 10 atau 20 tahun akan datang.

Kurikulum dibina untuk rujukan guru dan bukan dibaca atau ditelaah oleh murid. Guru hendaklah menghadamkan unsur-unsur yang tersurat dan tersirat dalam kurikulum seperti ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai diri, nilai kehidupan dan nilai kemasyarakatan.

Setelah guru menghadam semua unsur dalam kurikulum tersebut, mereka perlu bentuk pedagogi menurut daya kreativiti dan inovasi masing-masing.

Reka bentuk pedagogi yang kreatif dan inovatif perlu mengambil kira aras keupayaan dan kecerdasan pelbagai pada murid dalam menyampaikan kandungan kurikulum.

Sehubungan ini, pendekatan pembelajaran berorientasikan peperiksaan berubah kepada pembelajaran berorientasikan pembangunan dengan kurikulum lebih fleksibel.

Menerusi autonomi dalam mereka bentuk pedagogi masing-masing, guru boleh menjajarkan ilmu pengetahuan, tema, topik dan kemahiran antara beberapa kandungan kurikulum.

Hal ini memberi kekuatan kepada guru menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran bagi membangunkan potensi murid.

Prinsip pendidikan yang memperkembang potensi sedemikian mengakui bahawa manusia telah dicipta sebagai sebaik-baik kejadian.

Proses pengajaran dan pembelajaran demikian juga bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu pendidikan merupakan usaha ke arah melahirkan insan seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Proses pembelajaran untuk membangunkan potensi murid akan berlaku dalam tempoh enam tahun di sekolah rendah dan tiga tahun di sekolah menengah.

Tempoh sembilan tahun memberikan peluang dan ruang yang secukup-cukupnya kepada guru untuk membangunkan potensi diri murid-murid menerusi pedagogi menarik.

Dalam tempoh ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan berlaku bersama-sama pentaksiran formatif dan peperiksaan sumatif.

Data pentaksiran formatif sepanjang proses pembelajaran murid serta peperiksaan sumatif pada hujung tahun amat penting kepada guru dan ibu bapa.

Data pentaksiran dan peperiksaan tersebut memberikan maklumat kepada guru serta ibu bapa bagi melihat inisiatif dalam memberikan sokongan berterusan kepada murid.

Inilah konsep peperiksaan untuk pembelajaran (assessment for learnin). Pentaksiran atau peperiksaan dalam tempoh sembilan tahun itu bukan untuk menidakkan potensi seseorang murid.

Sehubungan itu, petunjuk seperti Tahap Pencapaian (TP) atau Gred tidak wajar dijadikan alat bagi menghukum seseorang murid.

Siapalah kita untuk menidakkan seseorang murid atau anak itu yang telah dicipta sebagai ‘sebaik-baik kejadian’. Yang pastinya, setiap insan mempunyai keistimewaan masing-masing.

Dalam membicarakan pembangunan potensi murid, mungkin seseorang murid itu mendapat TP 3 atau Gred C dalam mata pelajaran pendidikan Islam tetapi dia tukang azan di surau sekolah atau kampung.

Bukankah potensi murid atau anak sebagai tukang azan merupakan pencapaian baik bagi potensi dirinya yang telah dibangunkan menerusi kurikulum dan pedagogi guru kreatif?

Mungkin seseorang murid itu hanya sekadar TP 2 atau gred C dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, tetapi dalam kehidupan sebenar, dia seorang yang bersopan-santun, petah dan berani berkomunikasi di khalayak ramai.

Karakter murid atau anak ini juga merupakan potensi besar yang seharusnya diberikan pengiktirafan.

Inilah pendidikan iaitu membangunkan potensi individu menerusi standard kurikulum tinggi dan disampaikan oleh guru menerusi pedagogi kreatif dan inovatif.

Untuk merealisasikan pendidikan bagi membangunkan potensi, selepas tiga bulan sesi persekolahan, murid tahun satu perlu melalui proses pentaksiran yang juga merupakan proses diagnosis.

Data yang terkumpul daripada diagnosis tersebut dapat membantu guru mengenal pasti murid sama ada berlaku keciciran pembelajaran atau seseorang murid itu merupakan murid berkeperluan khas (MBK).

Sekiranya berlaku keciciran pembelajaran, guru boleh melaksanakan intervensi bagi meningkatkan kemahiran literasi dan numerasi murid.

Malah, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) juga mempunyai inisiatif bagi menangani isu literasi dan nemurasi seperti Program BaNgKit, SASUBA dan ILQA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN