“KALAU dapat diundurkan masa, saya tidak akan sesekali berkelakuan jahil sebegitu.”
“Sah-sah haram dan tidak dibenarkan sama sekali oleh agama Islam, tetapi saya tetap lakukan kononnya atas alasan hidup susah dan mahu mencuba kerana masih muda jadi sempat bertaubat.”
Itu kata-kata penyesalan yang diluahkan Han (bukan nama sebenar) kepada Panorama selepas lebih sedekad memendam rahsia dan menyimpan aib perbuatan ketika usia mudanya itu.
Menurut Han, dia dibesarkan daripada keluarga susah dan bapanya sudah lama berpisah dengan ibunya.
“Saya tinggal bersama dengan ibu di rumah setinggan bersama empat lagi adik-beradik.
“Saya anak yang sulung. Ibu pula hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah sekolah. Saya memang tidak habis sekolah dan sejak usia 16 tahun sudah mula bekerja,” katanya.
Beritahu Han yang kini berusia 36 tahun, dia perlu bekerja bagi membantu ibu dan adik-adiknya memandangkan dia anak sulung dalam keluarga.
Jelasnya, kerja pertama yang dilakukan adalah menjadi pembantu dapur di sebuah kedai makan Cina.
Katanya, ketika awal-awal mencari kerja, ramai yang tidak mahu menerimanya kerana terlalu muda dan masih belum habis sekolah.
“Banyak kedai yang saya pergi untuk minta kerja tapi semuanya tidak berhasil. Mereka tak mahu budak-budak katanya.
“Sampailah saya dapat kerja di sebuah restoran makanan Cina milik orang tempatan yang agak terkenal di Selangor,” katanya.
Ujar Han, ketika itu dia bekerja secara sepenuh masa bermula seawal 10 pagi sampailah 10 malam dengan gaji RM40 sehari.
Bagi Han, jumlah tersebut sudah terlalu banyak dan dapat membantu dia dan keluarga yang memerlukan.
Di tempatnya bekerja turut menyediakan sekali makan secara percuma dan langkah itu juga dapat menjimatkan wang poketnya.
“Cumanya pada awalnya saya tidak makan di tempat kerja kerana bahan-bahan mentah yang digunakan semuanya tidak halal bagi orang Islam seperti saya.
“Jadi cara paling selamat, saya minta cef untuk gorengkan telur ayam dan saya akan makan bersama kicap atau sos,” katanya.
Jelasnya, itulah menu yang mampu dimakan saban hari sampailah berbulan-bulan bekerja di sana.
Diringkaskan kisah, Han yang merupakan satu-satu orang Islam dan Melayu yang bekerja di premis tersebut mendapat seorang lagi kawan baharu.
Sama juga nasib dan latar belakang sepertinya, Qim (bukan nama sebenar) merupakan seorang pemuda Melayu Islam yang terdesak mencari pendapatan bagi membantu keluarganya.
Selang beberapa minggu, hubungan Han dan Qim menjadi semakin erat kerana umur mereka juga sama-sama muda di samping perangai yang lebih kurang sama.
“Ini hal yang paling buat saya ingat sampai ke saat ini walaupun ia sudah lama dan saya cuba padamkan daripada ingatan.
“Pada satu hari ketika sedang rehat dan makan tengah hari, Qim meletakkan ‘daging’ goreng di atas nasi putih dan telur goreng yang biasa saya makan.
“Saya bertanya daging apa dan tanpa banyak berkata, dia kata cuba makan dan ia sedap. Saya memang tak mahu, tetapi puas diasak Qim, saya turutkan.
“Saya makan seperti biasa ‘daging’ goreng tersebut yang teksturnya agak kenyal. Saya fikirkan daging lembu. Akhirnya Qim memberitahu apa yang saya telan itu adalah daging babi.
“Alangkah terkejutnya saya dan terus memarahi Qim. Apa yang dia cakap kepada saya tidak mungkin saya lupa: “Kenapa kau nak takut sangat halal haram, kau masih muda dan sempat bertaubat. Kita ini orang susah tak banyak pilihan, jadi inilah masanya.”
Entah bagaimana, fikiran saya bercelaru dan berasa sangat berdosa. Namun, dalam masa sama, dia menyedari ada benar juga kata-kata Qim itu kerana dia sendiri seorang yang tidak pernah solat, tetapi ‘sibuk’ dengan hukum halal haram.
“Bermula dari situ, dia dan Qim sama-sama rancak memilih daging babi sebagai hidangan setiap kali waktu rehat dan makan.
“Cef tempatnya bekerja juga orang luar dan 90 peratus pekerja juga adalah pekerja warga asing yang bukan Islam.
“Sekali dua mencuba, saya rasa daging itu sedap. Lebih sedap daripada ayam dan daging lembu atau apa sahaja.
“Saya orang susah dan saya perlu makan untuk meneruskan hidup.
“Saya dan Qim seolah-olah tiada ‘pilihan’ dan tidak boleh jadi manusia terlalu baik. Kami masih muda, cukup masa kami berubah dan bertaubat,” katanya lagi.
Jelas Han, hampir sedekad dia bekerja di sana sampailah dinaikkan pangkat sebagai pembantu cef, dia tetap dengan pilihan untuk makan daging tersebut.
Meskipun ada seorang dua bertanya mengenai perbuatannya itu, dia lantas menjawab bahawa dia memang makan daging babi sejak azali walaupun beragama Islam dan itu bukannya satu masalah.
Kini selepas tidak lagi bekerja di kedai makan tersebut dan lebih 10 tahun meninggalkannya, Han masih teringat akan dosa serta perbuatan keji yang dilakukannya itu.
Meskipun sudah bertaubat, dia masih berasakan dirinya terlalu jijik dan kotor kerana apa yang dimakan itu sudah menjadi sebahagian darah daging serta hidupnya.














