KANGAR – Bekas pelumba negara, Elly Idzlinizar Ilias maut dalam keadaan mengerikan selepas ditetak secara bertubi-tubi dengan pedang samurai dalam kejadian pergaduhan di simpang masuk Taman Behor Gonchar Jaya di sini pada Isnin lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 40 tahun ditemukan mati dengan empat kesan kelar di tangan dan lapan kesan tetakan termasuk di belakang badan.
Elly yang terpilih menyertai program pencarian pelumba wildcard untuk beraksi di Grand Prix Malaysia pada 2009 kemudian dikejarkan ke hospital sebelum meninggal dunia pada pukul 12.01 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian serangan berdarah itu pada pukul 11.13 malam.
“Sebelum kejadian, mangsa pergi ke rumah suspek utama dalam keadaan marah, namun lelaki itu tiada di rumah.
“Sewaktu dalam perjalanan pulang, lelaki itu bertembung dengan suspek di persimpangan jalan utama dan berlaku kejadian (bunuh) tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini semalam.
Difahamkan, anak suspek utama tiba di lokasi tidak lama kemudian, namun tidak dapat dipastikan sama ada untuk meleraikan pergaduhan atau sebaliknya.
Berlaku cabar-mencabar dan pergaduhan mulut antara suspek dan mangsa sehingga berakhir dengan kejadian berdarah dan mereka juga mempunyai ilmu persilatan.
Mangsa mengalami pendarahan teruk pada kedua-dua belah tangan.
Ekoran kejadian itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kangar memberkas tiga suspek lelaki termasuk dua beranak berusia 22, 28 dan 51 tahun.
“Selain tangkapan, kita merampas sebilah pedang sepanjang 1.12 meter, telefon bimbit, perakam video digital, pakaian suspek dan kereta Proton Iriz berwarna biru milik mangsa,” katanya.
Pemeriksaan mendapati, terdapat kesan kerosakan pada kereta si mati termasuk cermin retak dan tompokan darah.
Menurut Yusharifuddin, setakat ini motif sebenar serangan masih disiasat kerana mangsa dan suspek saling mengenali dan sudah lama berkawan.
“Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai kerana perselisihan faham,” katanya.
Semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai empat hingga 11 rekod jenayah termasuk cubaan bunuh, ugutan jenayah, khianat dengan api, merusuh menggunakan senjata, mencuri kenderaan, judi dan dadah.
“Suspek utama iaitu kontraktor berusia 51 tahun beralamat di Kuala Perlis, manakala suspek kedua pula buruh dari Arau dan suspek ketiga anak kepada suspek utama berusia 22 tahun dan bekerja sebagai tukang kebun yang beralamat di Kangar.
“Ujian air kencing mendapati suspek utama positif dadah jenis benzo, manakala dua lagi suspek pula bebas pengambilan bahan terlarang. Punca kematian mangsa akibat pendarahan teruk kerana luka kelar,” katanya.
Ketiga-tiga suspek direman sehingga 17 September ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati. -KOSMO! ONLINE














