KOTA BHARU – Seorang penjual air balang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual dengan mencabul anak angkat perempuannya pada tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 45 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual dengan mencabul anak angkat perempuannya yang berusia 12 tahun 10 bulan ketika kejadian.
Perbuatan itu dilakukan semasa tertuduh menunggang motosikal di Kampung Bechah Hangus dan Jalan Rangkal Kuang-Banggol Lepah, Ketereh di sini selain di sebuah rumah di Kampung Guntong dekat sini, Oktober tahun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Firdaus Zainal Abidin.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh dikhuatiri akan mengganggu mangsa.
Mahkamah turut mengarahkan lelaki itu melapor diri setiap bulan di Balai Polis Kok Lanas di sini selain menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














