AGAK panas apabila Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki membuat pemeriksaan mengejut ke atas dewan selera Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Taiping, Perak baru-baru ini.
Lawatan tersebut dilakukan ekoran insiden keracunan makanan melibatkan sejumlah pelajar sehingga menyebabkan sebilangan mereka terpaksa dirawat di hospital.
Keracunan makanan bukan suatu perkara yang boleh dipandang mudah kerana bukan sahaja boleh menyebabkan sakit perut, pening, muntah dan cirit-birit tetapi juga mengakibatkan kecacatan seperti lumpuh atau sakit sendi-sendi yang berpanjangan serta lebih menyedihkan, kematian.
Kosmo! sendiri pernah melaporkan beberapa kes kematian akibat kecuaian penyedia makanan yang bukan sahaja melibatkan kanak-kanak tetapi juga orang dewasa.
Oleh sebab itu, kita memahami mengapa Asyraf Wajdi begitu berang dengan insiden keracunan makanan ini kerana isu itu bukan sekadar makanan untuk mengalas perut tetapi melibatkan nyawa!
“Kesihatan, keselesaan dan kebajikan anak-anak MRSM adalah perkara yang amat saya titik beratkan dan tiada kompromi dalam hal ini,” tegas beliau.
Isu tersebut wajar diberi perhatian oleh semua pihak kerana bukan sahaja melibatkan golongan pelajar di 57 buah MRSM tetapi juga lebih 70 sekolah berasrama penuh di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Malah banyak lagi jika disertakan pusat-pusat latihan dan institut pengajian tinggi yang juga mempunyai kemudahan asrama bagi membolehkan pelajar mengikut pembelajaran dan latihan dengan baik.
Asrama diwujudkan bagi menyediakan suasana pembelajaran yang terancang, terkawal dan kondusif dalam usaha kerajaan mengembangkan potensi pelajar yang cemerlang sekali gus melahirkan modal insan berkualiti.
Berikutan itu, aspek penyediaan dan pengurusan makanan kepada generasi pewaris negara ini suatu yang tidak boleh dipandang mudah oleh pihak pengendali yang ‘menawarkan’ diri serta ‘merebut’ kontrak yang dibuka oleh kerajaan.
Pihak pengurusan asrama di peringkat sekolah juga memikul tanggungjawab besar dalam memastikan setiap terma kontrak dipatuhi dengan baik supaya tidak berlaku penyelewengan, kecuaian dan pengabaian sekali gus mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Penulis ada membaca perdebatan beberapa isu seperti kos untuk lima kali makan bagi seorang pelajar yang ditetapkan dalam kontrak kepada penyedia makanan, namun pada akhirnya mereka yang menawarkan diri untuk memasuki tender semestinya telah membuat kajian teliti mengenai cabaran dan risiko yang terpaksa dihadapi.
Pastinya mereka telah membuat unjuran untung rugi, kos yang terpaksa ditampung, keupayaan pekerja serta pelbagai masalah luar jangka yang berkemungkinan berlaku termasuk kenaikan harga barang mentah dan sebagainya.
Selain untung rugi yang difikirkan, penender juga mesti mempunyai nilai-nilai murni dalam melaksanakan perkhidmatan menyediakan makanan kepada golongan pelajar ini dengan sifat belas kasihan, bertimbang rasa, penyayang dan ikhlas.
Jika kita tidak rela anak kita makan ayam busuk, nasi berulat, tidakkah boleh kita pastikan anak bangsa kita yang lain juga dilayan dengan perasaan yang sama?














