PONTIAN – Seorang maut, manakala tiga parah dalam kemalangan yang melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 73.5 Jalan Johor Bahru – Batu Pahat dekat Kampung Ayer Baloi di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 7.45 malam itu melibatkan sebuah Proton Wira, sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Vellfire, Perodua Axia dan Proton Saga.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada Toyota Vilfire yang dipercayai telah bergesel ketika cuba memotong sebuah Proton Saga di hadapannya.
“Akibat kejadian itu, Toyota Villfire memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta Proton Wira dan Perodua Axia di hadapannya,” kata beliau dalam satu kenyataan disini, hari ini.
Tambahnya, akibat kemalangan itu, pemandu Proton Wira seorang lelaki parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Penumpang di hadapannya dan dua lagi di belakang kereta Proton Wira pula cedera parah dan dirawat di Hospital Pontian. Pemandu Toyota Villfire dan Proton Axia mengalami kecederaan ringan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














