IMPIAN untuk memanggil lebih ramai pemain warisan ‘gred A’ dalam skuad Harimau Malaya semakin terbuka apabila tonggak tengah kelahiran England, Josh Brownhill didakwa memiliki ‘darah’ kacukan Malaysia.
Menurut pencari bakat laman sosial X, frfuturetalents mendedahkan Brownhill yang berusia 29 tahun disahkan memiliki darah Malaysia sebelah nenek kandungnya, tetapi masih belum dipastikan kesahihannya.
Menerusi satu kemaskini tersebut, Brownhill beraksi di Liga Kejuaraan di England bersama Burnley itu sedia mempertimbangkan untuk mewakili Harimau Malaya menerusi kiriman emel yang diterima oleh portal terbabit.
“Saya boleh sahkan yang saya memiliki keturunan Malaysia di sebelah nenek saya dan ini sesuatu menjadi kebanggaan (keluarga) saya.
“Cuma, ketika ini saya masih meletakkan fokus kepada karier kelab saya sehingga ke hari ini. Namun, kemungkinan untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa adalah perkara boleh dipertimbangkan.
“Saya menghargai minat dan sokongan daripada penyokong dan komuniti bola sepak Malaysia dan saya akan berhati-hati dalam menilai peluang mengenai perkara ini pada masa akan datang,” kata kenyataan emel terbabit.
Sebagai rekod, Brownhill merupakan pemain yang lahir daripada akademi Manchester United sebelum berhijrah ke pasukan Preston North End pada 2013 hingga 2016.
Kapten The Clarets yang memiliki tanda harga sebanyak €15 juta (RM72 juta) menerusi laman transfermarkt turut pernah beraksi bersama Barnsley dan Bristol City sebelum berhijrah ke Turf Moor pada 2020.














