BACHOK – Seorang tukang urut hidup serba daif apabila tinggal di dalam bangsal bersama anak dan cucunya di Kampung Banggol Nasi Manis, Beris Lalang di sini sejak setahun lalu.
Biarpun serba kekurangan, bangsal berdindingkan zink tanpa kemudahan asas termasuk elektrik itu menjadi ‘syurga’ buat Sepie Mat Ail, 70, sekeluarga.
Menurut Sepie, dia bersama anak dan cucu nekad tinggal berhimpit dalam bangsal tersebut kerana tidak mampu menyewa rumah disebabkan tiada pendapatan tetap.
“Saya hanya mengharapkan upah mengurut dengan pendapatan sebanyak RM400 sebulan, itupun jika ada pelanggan. Dulu saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan jarang berkongsi mengenai kehidupan dengan keluarga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Sepie, disebabkan itu, ada yang menyangka dia sudah meninggal dunia dan menganjurkan kenduri tahlil kira-kira 10 tahun lalu.
Ceritanya, selepas berpisah dengan bekas isterinya beberapa tahun lalu, dia menyewa rumah di Kampung Chengal, Ketereh dengan kadar RM400 sebulan.
Disebabkan gagal menjelaskan sewa tersebut, Sepie bersama dua anak dan cucu diarah keluar dari kediaman tersebut.
“Anak sulung saya bekerja, namun disebabkan masalah kesihatan selepas terjatuh pokok kelapa beberapa tahun lalu, dia telah diberhentikan. Keadaan itu menyebabkan dia mengalami masalah penglihatan selain cedera fizikal,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Bachok, Zulfikri Abd. Wahab berkata, pihaknya sudah menyerahkan borang permohonan bantuan orang kelainan upaya (OKU) kepada anak Sepie.
Katanya, selepas mengadakan lawatan di rumah Sepie, Jabatan Kebajikan Masyarakat mempertimbangkan bantuan bagi meringankan beban keluarga warga emas tersebut.
“Selain itu, kita cuba mencari penempatan baharu buat Sepie menerusi Projek Diraja melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok bagi membolehkan dia sekeluarga dapat tinggal dalam keadaan selesa,” katanya.














