fbpx
NURALIYA merupakan pengasas Cepat Mover.

Wanita muda Nuraliya ‘bos’ syarikat logistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGALAMAN bekerja dalam bahagian pemasaran di syarikat korporat mendorong wanita muda ini untuk berani mencabar diri melakukan suatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini iaitu mengasaskan perniagaan.

Bagi Nuraliya Daniel, meskipun pekerjaannya sudah stabil di sebuah syarikat ternama, namun dia tetap nekad mahu mencuba sesuatu di luar kebiasaannya.

Pengalaman Nuraliya yang pernah bekerja bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara turut diguna pakai sehabis baik dalam bisnes.

Bagi ibu kepada dua cahaya mata ini, alasan utama dia memilih untuk berhenti ‘makan gaji’ dan ada bisnes sendiri adalah kerana dia sebenarnya amat meminati bidang perniagaan.

“Saya minat berniaga kerana ia memberi kebebasan untuk mengurus masa sendiri dan mencipta peluang untuk pendapatan yang lebih.

“Selain itu, berniaga juga memberi ruang untuk mengembangkan kreativiti dan potensi diri.

“Pada masa sama, saya amat suka cabaran dalam mencari penyelesaian serta kepuasan apabila melihat usaha sendiri berhasil dan dapat beri manfaat kepada orang lain,” kata Nuraliya, 33, yang merupakan pengasas syarikat logistik dan penghantaran Cepat Mover kepada Aura.

Namun, jelas anak kelahiran Shah Alam, Selangor ini, perniagaan pertama yang diasaskannya selepas berhenti kerja ‘makan gaji’ ialah berkaitan pengurusan sisa pepejal terlebih dahulu.

NURALIYA menubuhkan Cepat Mover sejak 2018.

Hanya selepas beberapa tahun, barulah dia mengembangkan bisnesnya kepada segmen berlainan iaitu berkaitan logistik dan penghantaran sekali gus lahirlah Cepat Mover.

“Idea ini tercetus apabila syarikat mempunyai aset kenderaan yang banyak oleh kerana perniagaan saya terdahulu adalah pergurusan sisa pepejal dan infrastruktur telekomunikasi.

“Bagi saya, setiap aset syarikat perlu menyumbang dan menjana pendapatan untuk perusahaan itu sendiri.

“Saya yakin dengan perniagaan logistik kerana nampak potensi besar dalam industri ini, terutamanya dengan peningkatan permintaan terhadap penghantaran dan pengurusan rantaian bekalan,” katanya.

Terangnya, perniagaan logistik dan penghantaran dengan nama Cepat Mover itu dilihat mampu memberi peluang dan ‘nyawa’ dengan memberikan perkhidmatan sokongan kepada perniagaan lain.

“Nama Cepat Mover dipilih kerana ia mencerminkan misi perniagaan kami untuk memberikan perkhidmatan penghantaran yang pantas dan efisien.

“Kami mahu pelanggan yakin bahawa barangan mereka akan sampai dengan cepat dan selamat, sesuai dengan jenama yang kami bina.

“Saya memilih nama ini kerana penjenamaan lebih ringkas dan straight to the point. Selain itu, saya gemar menggunakan perkataan yang pelanggan saya mudah faham dan cepat untuk diingati,” katanya.

Antara perkhidmatan yang disediakan Cepat Mover termasuk pindah rumah, penghantaran barangan komersial dan perindustrian, towing motosikal, penghantaran ke gudang, barang gantian kenderaan, pengurusan sampah sisa pepejal dan pelbagai lagi.

Meneruskan perkongsian, dia yang menggalas peranan sebagai Pengarah Nosa Haulage Sdn. Bhd. (Cepat Mover) sejak tahun 2018 bersyukur apabila perniagaan yang diasaskan sejak lima tahun itu diterima ramai.

Dia juga bersyukur diizinkan untuk berkongsi rezeki apabila syarikatnya mampu mengupah sejumlah staf bagi melancarkan operasi harian.

“Setakat hari ini saya mengendalikan 160 pekerja di bawah seliaan saya dan ia 100 peratus rakyat tempatan Malaysia yang terdiri pelbagai kaum,” katanya.

NURALIYA bersama suami yang banyak memberi sokongan dalam bisnes.

Beranjak kepada cabaran sepanjang mengemudi bisnes, Nuraliya menyifatkan hal itu sebagai asam garam yang wajib dilalui setiap usahawan.

Akuinya yang mula mengasaskan bisnes semasa berumur 27 tahun, sudah tentu tiada yang indah dalam menguruskan perniagaan lebih-lebih lagi jika berniaga di usia muda kerana rata-rata pelanggan tidak ada keyakinan terhadap dirinya.

“Apatah lagi, sepertimana kita tahu, perniagaan logistik biasanya didominasi dan dikuasai kaum lelaki.

“Ugutan dan tohmahan adalah perkara biasa yang dilontarkan, namun tiada siapa yang boleh menjatuhkan semangat juang saya,” katanya.

Kongsinya lagi, berbekalkan modal RM4,000 semasa memulakan perniagaan logistik bukan perkara mudah kerana setiap langkah dan keputusan perlulah tepat.

“Suatu ketika pernah saya hampir putus asa kerana perniagaan sangat teruk dan baki duit yang ada hanya untuk bayar gaji pekerja dan terpaksa ikat perut untuk seketika.

“Namun, saya mengambil keputusan menjual banyak barangan dan aset kepunyaan syarikat terdahulu (sisa pepejal) untuk kelangsungan perniagaan. Alhamdulillah, berkat usaha dan rezeki Allah, perniagaan saya bertambah maju. Dalam perniagaan, usaha dan kesungguhan adalah elemen terpenting dan paling utama hubungan kita dengan Yang Maha Esa,” katanya.

Tidak terhenti di situ, satu lagi cabaran getir ketika syarikat mengalami kerugian besar akibat masalah logistik luar jangka.

Ceritanya, pada ketika itu, syarikat menghadapi masalah dalam memastikan penghantaran sampai tepat pada masanya disebabkan isu teknikal kenderaan dan team di bawah kendaliannya yang terpaksa batalkan penghantaran.

“Sudah tentu pelanggan tidak berpuas hati dan ketika itu habis teruk saya dicerca. Saya mengambil langkah proaktif dengan menanggung kos tambahan bagi menyelesaikan masalah tersebut tetapi masih tidak dapat memuaskan hati mereka.

“Rentetan itu, saya belajar daripada pengalaman dan tampil menyediakan ‘emergency rescue team’ sekiranya berlaku masalah teknikal lagi,” katanya.

Akuinya lagi, momen tersebut hampir membuatkan dia berputus asa kerana tekanan yang tinggi dan rasa bertanggungjawab terhadap pelanggan dan kakitangan selain terpaksa menanggung kerugian tinggi.

Mengenai perancangan jangka panjang, wanita cekal ini menerusi syarikatnya komited memperluaskan rangkaian perkhidmatan ke lebih banyak kawasan dan menambah baik teknologi penghantaran walaupun kini perkhidmatannya sudah mencakupi sekitar Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Kami ingin meningkatkan kapasiti supaya dapat memenuhi permintaan yang lebih besar sambil mengekalkan kualiti perkhidmatan yang tinggi.

“Selain itu, kami bercadang untuk memperkenalkan lebih banyak pilihan penghantaran fleksibel yang lebih mesra pengguna untuk menepati keperluan pelanggan yang semakin berkembang.

“Syarikat optimis mencapai sasaran tersebut kerana keunikan perkhidmatan kami terletak pada komitmen terhadap kelajuan dan ketepatan masa penghantaran.

“Syarikat juga fokus kepada perusahaan kecil dan sederhana dengan menawarkan harga yang lebih murah berbanding pengusaha lain,” katanya yang turut menjalin kolaborasi e-dagang dengan syarikat penghantaran lain.

Nuraliya turut memasang impian untuk memperkukuh jenama dan memperluas rangkaian logistik ke peringkat nasional dan global.

“Saya juga bercadang untuk melabur lebih banyak dalam teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan operasi dan menawarkan perkhidmatan yang lebih inovatif kepada pelanggan.

“Di samping itu, saya ingin memperluas kepelbagaian perniagaan dengan melibatkan diri dalam sektor-sektor baharu yang berpotensi seperti logistik hijau atau perkhidmatan pengangkutan lestari yang lebih mesra alam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN