LANGKAWI – Kejadian kepala air yang melanda kawasan pelancongan kereta kabel SkyCab di kaki Gunung Mat Chincang, di sini kelmarin menyebabkan beberapa peniaga mengalami kerugian besar sehingga ada yang mencecah RM100,000.
Seorang peniaga di medan selera di kawasan tersebut, Ahmed Morsi, 40, berkata, dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, dia tidak sempat menyelamatkan barang di dalam kedai kerana tidak beroperasi.
Ekoran itu, dia mengalami kerugian dianggarkan sehingga RM100,000 apabila barang-barang perniagaannya musnah ditenggelami air.
“Barang-barang itu seperti lima buah peti sejuk yang harganya mencecah belasan ribu ringgit, ketuhar, mesin kopi dan pinggan mangkuk yang semuanya musnah kerana ditenggelami air separas pinggang,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Seorang lagi peniaga di situ, Adora Abdul Aziz, 52, memberitahu, kejadian kepala air ini merupakan yang paling buruk pernah berlaku sejak 21 tahun kedainya beroperasi.
“Kepala air biasa jadi setiap tahun, tetapi air biasanya setakat paras buku lali sahaja.
“Kali ini air naik sehingga paras pinggang dan alirannya deras sehingga peti sejuk seberat 165 kilogram (kg) yang diletakkan dalam kedai terbalik,” ujarnya.
Peniaga gerai makan di tempat letak bas di kawasan pelancongan itu, Zahara Hasan, 72, pula berkata, semasa kejadian, air naik dengan cepat.
“Kedai saya terletak betul-betul di tepi sungai, jadi apabila kepala air memang air terus menderu masuk ke dalam kedai.
“Cuma saya bernasib baik kerana tiada barang yang rosak, hanya kotor walaupun ada peti sejuk beku yang ditenggelami air setinggi satu kaki, tetapi nasib baik masih berfungsi,” ujarnya.
Dalam kejadian kepala air itu, medan selera dan lima kios antara yang ditenggelami air selain dua buah kereta dihanyutkan di dalam sungai,
Kejadian berlaku ekoran limpahan sungai akibat kepala air dari sungai Air Terjun Telaga Tujuh selepas hujan lebat.
Bagaimanapun, bencana tersebut tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.














