BESUT – Seorang suri rumah tidak menyangka aiskrim Malaysia yang menjadi kegemarannya sejak kecil kini menjadi sumber pendapatan sampingan sehingga mampu memperoleh hampir RM600 sebulan.
Ainur Anisa Idris, 28, berkata, aiskrim Malaysia buatannya mendapat sambutan baik sehingga terjual sebanyak 2,000 batang sebulan.
“Pada mulanya, saya menghasilkan aiskrim Malaysia untuk dinikmati sendiri kerana memang meminatinya sejak kecil sebelum timbul idea untuk menjual pencuci mulut tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Nyireh di sini semalam.
Ainur Anisa memberitahu, permintaan terhadap aiskrim Malaysia yang dihasilkannya meningkat sedikit demi sedikit berikutan maklum balas daripada pelanggan dan promosi di media sosial.
Jelasnya, jualan aiskrim Malaysia itu boleh mencecah 100 batang sehari ketika cuaca panas sehingga dia terpaksa membeli peti sejuk bersaiz besar bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Setakat ini, saya menjual 20 perisa dengan sebahagiannya menggunakan susu segar,” katanya.
Aiskrim Malaysia itu dijual 50 sen hingga RM1 sebatang mengikut perisa. Ainur Anisa turut menerima tempahan untuk majlis kenduri kahwin dan program agensi kerajaan.














