Madu bukan sahaja makanan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW, malah makanan itu juga sering disebut dalam al-Quran sebagai penawar untuk pelbagai penyakit.
Madu merupakan makanan tambahan yang diamalkan oleh orang ramai kerana memiliki pelbagai khasiat untuk tubuh badan.
Misalnya, menambah stamina, membantu mengurangkan gejala penyakit asma dan melancarkan penghadaman.
Proses penghasilan yang rumit menyebabkan madu dijual pada harga mahal.
Minggu ini, Panorama berkongsi lima madu termahal di dunia.
1. Madu Centauri (RM73,000 sekilogram)
Madu paling mahal di dunia adalah madu Centauri yang menjadi buruan ahli politik, kerabat diraja dan doktor dari seluruh dunia.
Jika madu lain menjadi pilihan kerana rasanya yang enak, madu Centauri pula diburu kerana manfaat kesihatannya.
Cecair berwarna keemasan ini sukar ditemui memandangkan proses perahan madu ini hanya berlaku pada kedalaman antara 10 hingga 500 meter di bawah permukaan gua.
Ia juga mempunyai pelbagai rasa seperti bunga-bungaan, manis dan berkrim atau pahit seperti ubat.
2. Madu Elvish (RM30,000 sekilogram)
Madu Elvish juga dihasilkan oleh lebah gua, khususnya di wilayah Laut Hitam Turkiye.
Proses penuaian yang rumit berlaku di lembah paling padat di Pergunungan Laut Hitam.
Ia memerlukan para penuai untuk mendaki selama dua jam dan berjalan kaki kira-kira enam jam.
Rasa vanila, asap dan biji koko yang harmoni pada madu ini menghasilkan produk dengan rasa cukup enak.
3. Madu gua (RM7,800 sekilogram)
Madu gua secara asasnya merupakan cecair yang jarang ditemui, sekali gus menyebabkan ia dijual pada harga mahal.
Ini kerana, proses penghasilannya adalah semula jadi dan tidak memerlukan tenaga manusia. Madu ini dihasilkan menggunakan lebah ganjil yang tinggal di dalam gua dan hanya makan herba. Ini menyebabkan madu dihasilkan kaya dengan potasium, phenol magnesium dan antioksidan.
Ia juga mempunyai warna gelap dengan rasa yang sedikit pahit.
4. Madu Himalaya Mad (RM3,600 sekilogram)
Madu Himalaya Mad dituai setahun sekali di sebuah kawasan terpencil di Lamjung, Nepal.
Ia dihasilkan oleh lebah terbesar di dunia iaitu Apis laboriosa yang mendapatkan nektar dari hutan Rhododendron Himalaya.
Banyak manfaat kesihatan yang diperoleh daripada madu ini. Kesan halusinogen yang diperoleh daripada Madu Himalaya Mad benar-benar unik.
5. Madu Manuka Comvita (RM2,500 sekilogram)
Madu Manuka Mentah UMF Comvita merupakan antara madu termahal di dunia kerana hanya dituai pada waktu spesifik iaitu antara dua hingga enam minggu setahun.
Sarang lebah bagi penghasilan madu ini terletak di lokasi terpencil di New Zealand yang merupakan tempat bunga manuka tumbuh mekar.
Madu Manuka Comvita juga merupakan jenama yang dipercayai kerana khasiatnya.














