SEPATUTNYA kejayaan di sukan Olimpik merupakan satu kenangan yang manis buat atlet, namun buat wanita ini ia disusuli kesedihan atas tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya.
Di sebalik berjaya meraih pingat emas bagi acara tinju welterweight 66 kilogram menewaskan petinju China, Yang Liu di pentas final, peninju wanita dari Algeria, Imane Khelif telah menjadi pusat kontroversi sejak kemenangannya pada pusingan pertama ke atas lawannya dari Itali, Angela Carini yang menarik diri selepas 46 saat.
Kemenangan pantas Imane, 25, ke atas Carini memicu kembali perhatian ke atas dirinya, bukan sahaja kerana pencapaiannya di gelanggang tinju, tetapi juga kerana statusnya yang didakwa sebagai petinju transgender.
Kontroversi tercetus selepas pertarungan itu dengan banyak pihak mengetengahkan isu kewujudan atlet transgender dalam kategori wanita.
Tambahan pula, sebelum ini Imane dan seorang lagi petinju, Lin Yu Ting dari Taiwan telah menjadi pusat perhatian media dan arena sukan kerana tahun lalu mereka tidak dibenarkan untuk menyertai kejohanan dunia anjuran Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA).
Keputusan itu dilakukan badan berkenaan yang mempersoalkan kelayakan mereka bertanding dalam kategori wanita susulan mereka berdua didakwa mempunyai tahap testosteron tinggi.
Kontroversi tersebut mengguris hari Imane yang meluahkan rasa sedih kerana jantinanya dijadikan isu meskipun secara biologi dia seorang wanita.
Dia juga mengakui bahawa hal itu memberi tekanan dan keperitan ekoran mendapat kecaman pelbagai pihak dan menggesa supaya pembulian di Olimpik dihentikan.
“Saya menghantar mesej kepada semua orang di dunia untuk menegakkan prinsip Olimpik dan Piagam Olimpik bagi mengelak daripada membuli kerana ini mempunyai kesan kepada semua atlet.
“Ia boleh memusnahkan orang, ia boleh membunuh pemikiran, semangat dan minda orang. Ia boleh memecahbelahkan dan kerana itu, saya meminta mereka untuk mengelak daripada membuli,” katanya dalam satu temu bual.
Dilahirkan pada 2 Mei 1999, Imane yang berasal dari pedesaan Tiaret mula meminati sukan tinju agak lewat iaitu selepas menyaksikan perlawanan sukan tersebut dalam Sukan Olimpik Rio 2016, Brazil.
Sejak itu, Imane rajin berlatih di gimnasium tinju walaupun terpaksa menempuh perjalanan sejauh 10 kilometer menaiki bas dari kampungnya ke tempat latihan.
Menurut artikel di laman Olympics.com, Imane dikatakan terpaksa menjual besi buruk untuk dikitar semula bagi membayar kos perjalanan bas, manakala ibunya juga membantu dengan menjual makanan tradisional di Algeria, couscous.
Kerjaya antarabangsa Imane bermula pada Kejohanan Tinju Wanita Dunia AIBA 2018 di New Delhi, India di mana dia menduduki tempat ke-17 selepas tersingkir pada pusingan pertama, manakala pada Kejohanan Tinju Dunia Wanita AIBA 2019 di Russia, dia berada di ranking ke-33.
Algeria kemudian menyedari bakat Imane yang kemudiannya mewakili negaranya di Sukan Olimpik Tokyo 2020, sekali gus menjadi penampilan pertamanya sebagai peninju wanita dalam acara tersebut.

Pada Sukan Olimpik 2020, Imane mara ke suku akhir dalam acara ringan (60kg). Dia terhenti dalam pusingan itu selepas tewas kepada juara bertahan, Kellie Harrington (Ireland), menerusi mata 0-5.
Imane kemudian menjadi petinju wanita Algeria pertama yang memenangi pingat pada Kejohanan Dunia 2022 dengan meraih perak di final selepas tewas dengan mata kepada Amy Broadhurst, seorang peninju wanita dari Ireland.
Di peringkat benua, Imane Khelif berjaya memperoleh pingat emas pada Kejohanan Afrika 2022 mengalahkan Aratwa Kasemang (Botswana) dalam final welterweight (63kg).
Tahun 2024 mencatat sejarah kembalinya Imane ke pentas Olimpik selepas menewaskan Alcinda Panguana (Mozambique) dalam zon Kelayakan Olimpik 2024 untuk Afrika.
Kontroversi yang memalit Imane bermula selepas dia hilang kelayakan daripada Kejohanan Dunia Wanita 2023 kerana gagal dalam ujian kelayakan jantina.
Bagaimanapun, menerusi laporan di Diario Amerika Syarikat (AS), Imane bukanlah seorang atlet transgender.
“Imane dilahirkan sebagai seorang perempuan dan dibesarkan selayaknya seperti anak gadis lain oleh keluarganya.
“Namun begitu, dia mengalami gangguan perkembangan seks (DSD) yang mungkin memberinya kromosom XY dan tahap testosteron yang serupa dengan atlet lelaki,” tulisnya.
Jawatankuasa Penganjur Olimpik (IOC) juga mengesahkan bahawa Imane bukan transgender.
Dalam kenyataannya, IOC menekankan bahawa setiap atlet mempunyai hak untuk bersaing tanpa diskriminasi dan semua atlet yang muncul pada Sukan Olimpik Paris 2024 telah memenuhi syarat yang ditetapkan.
IOC juga menjelaskan bahawa jantina dan umur atlet adalah berdasarkan dokumen rasmi mereka seperti pasport.
“Kedua-dua Khelif dan Lin Yu Ting telah bertanding dalam kategori wanita selama bertahun-tahun dan keputusan IBA untuk membatalkan kelayakan mereka daripada Kejohanan Tinju Dunia 2023 adalah hasil maklumat yang salah dan keputusan mengejut.
“IBA yang sebelum ini mengeluarkan larangan ke atas atlet yang mempunyai kromosom XY daripada bertanding dalam kategori wanita, dianggap telah mengambil tindakan tanpa proses undang-undang yang jelas,” katanya dalam satu kenyataan.
IOC menegaskan keputusan ini tidak mengubah status Imane sebagai atlet wanita yang sah mengikut peraturan yang berkuat kuasa di Sukan Olimpik.
Keputusan ini juga mencerminkan komitmen IOC untuk melindungi hak asasi manusia semua atlet, selaras Piagam Olimpik dan Kod Etika IOC.
Sementara itu, bapa Imane, Omar Khelif menunjukkan kepada Reuters dokumen kelahiran anaknya.
“Ini dokumen kelahiran rasmi anak saya, 2 Mei 1999, Imane Khelif, perempuan. Ia tertulis di sini, anda boleh baca, dokumen ini tidak menipu,” katanya.
Amar memberitahu, semasa kecil Imane sudah menunjukkan rasa cinta kepada bidang sukan.
“Memiliki anak perempuan sepertinya adalah satu anugerah kerana dia merupakan seorang juara,” katanya.














