Boleh dikatakan setiap apa yang dikongsikan Nor Zabetha Muhamad Nor sangat kena dengan isu semasa dan dekat di hati masyarakat.

‘Perlu ada mindset bukan semua orang akan setuju’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI pengguna aplikasi TikTok pasti pernah terlihat susuk wanita yang begitu petah berbahas mengenai perundangan ini.

Kadangkala untaian video yang dimuat naik wanita ini tidak perlu dicari dalam bahagian ‘search’, kerana acapkali muncul sebagai FYP (Four Your Page).

Misalnya, video perkongsian pandangannya mengenai kes hangat, Nur Farah Kartini mencapai tontonan sebanyak 1.3 juta serta penjelasan mengenai kenapa Alif Teega dan Aisyah Hijanah direman (1.1 juta tontonan).

Gaya dan caranya yang hebat dalam berbahas mengemukakan hujah serta lantang menjelaskan perihal perundangan masa kini membuatkan personalitinya semakin dikenali.

Boleh dikatakan setiap apa yang dikongsikan Nor Zabetha Muhamad Nor sangat kena dengan isu semasa dan dekat di hati masyarakat.

Pandangan dan buah fikiran wanita berkerjaya peguam bela dan peguam cara asal Kuala Lumpur ini turut menjadi sumber rujukan mereka yang memerlukan dan dahagakan ilmu perundangan.

Tidak hairanlah, wanita berpengaruh ini juga telah diangkat sebagai Anugerah Ikon Wanita (Perundangan) 2022 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Berkesempatan menemu bual wanita hebat ini, bagi Nor Zabetha, 39, hanya satu falsafah hidup yang dipegangnya sampai ke saat ini iaitu sentiasa berusaha lebih dan berikan terbaik dalam apa jua dilakukan.

Seperti kebiasaan, soalan ‘wajib’ diajukan berkenaan kenapa dirinya memilih kerjaya sebagai peguam menjadi mukadimah perbualan.

“Saya merupakan seorang peguam dan beramal sejak tahun 2009. Saya merupakan graduan dari Universiti Islam Antarabangsa di Gombak.

“Selepas tamat pengajian pada tahun 2008, saya terus menjalani proses sebagai pelatih dalam kamar untuk diterima dan didaftarkan sebagai peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 2009.

“Kalau diikutkan, kerjaya sebagai peguam ini merupakan minat sejak di bangku sekolah.

“Sedari kecil saya merasakan kerjaya peguam ini sebagai satu kerjaya yang berprestij dan mempunyai auranya sendiri.

“Jadi, sejak saya mula menanam cita-cita sebagai seorang peguam, saya memang tidak toleh ke belakang dan terus berusaha mencapai cita-cita itu,” katanya panjang lebar.

ibu kepada satu cahaya mata ini tidak pernah bosan dengan kerjaya guaman.

Jelas ibu kepada seorang cahaya mata dan kini beramal sebagai peguam di firma guaman miliknya sendiri bersama rakan kongsi, Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co., dia bertuah kerana laluannya bergelar peguam dimudahkan Ilahi.

Ujarnya, ketika awal karier sebagai peguam, sudah tentu banyak kesukaran yang dihadapi lebih-lebih lagi banyak kekurangan diri.

“Kurang dari segi pengalaman, ilmu, skil berurusan di lapangan dan juga skil berurusan dengan manusia.

“Tetapi hari ini masa dan pengalaman adalah kelebihan saya. Alhamdulillah, selepas 16 tahun saya berkhidmat sebagai peguam, banyak ilmu, pengalaman dan skil yang saya pelajari.

“Setiap hari, ada sahaja perkara baharu yang saya belajar. Bidang undang-undang ini sangat luas dan tidak akan habis untuk saya selami,” katanya.

Tambah anak keempat daripada lima beradik itu, sepanjang hampir dua dekad berkhidmat, dia langsung tidak pernah rasa bosan sepanjang bertugas.

“Meskipun setelah berbelas tahun itu rutin kerja dan jadual mungkin hampir sama tetapi situasi dan pengalaman berbeza.

“Dalam menjalani rutin harian untuk terus kekal bermotivasi, saya banyakkan membaca buku-buku tentang self-development dan cara-cara untuk mempertingkat diri.

“Saya juga suka ambil contoh orang-orang hebat supaya dapat dijadikan panduan dan rujukan,” katanya.

Nor Zabetha berkata, dia melihat TikTok sebagai platform sumber informasi dan banyak pengetahuan diperoleh dalam pelbagai bidang.

“Jadi, sayang kalau saya sebagai pengguna ketinggalan mengikutinya dan sayang juga kalau pengetahuan dan pengalaman yang kita ada tidak dikongsikan untuk manfaat bersama,” katanya sekali gus menjelaskan niatnya berkongsi ilmu perundangan di TikTok.

NOR ZABETHA dijemput menyampaikan ceramah berkaitan undang-undang di Kementerian Kesihatan Malaysia, April lalu.

Menurutnya, media sosial memang banyak cabaran dan setiap orang terutama peguam sepertinya perlu ada mindset (tetapan fikiran) yang bukan semua orang akan bersetuju.

“Kadangkala apabila kita berikan fakta melalui perkongsian, akan ada orang mempertikaikan dan tidak bersetuju. Bila tidak setuju, kadangkala mereka suka mengecam dengan cara merendah-rendahkan atau mempertikaikan kita.

“Kalau hendak berkongsi dengan orang awam ini adalah asam garamnya. Saya tidak boleh menentukan sikap dan komen orang awam. Ada setuju, ada tidak. Ada suka dan ada yang tidak.

“Kadangkala kita sendiri kena ada sikap berlapang dada. Mungkin juga kadangkala saya sendiri ada terkhilaf dalam gaya penyampaian dan teguran melalui media sosial,” katanya.

Namun, setakat ini katanya, dia tidaklah melalui kecaman hebat hingga mengganggu gugat kehidupannya atau menyebabkan diri berputus asa.

Terangnya, menerima kecaman itu sudah tentu ada dan rata-rata mereka melibatkan netizen yang aktif berkongsi di media sosial sebegitu.

“Pasti ada yang tidak setuju atau kecaman. Ada teguran menasihati, teguran membina, ada mencari salah dan tidak kurang juga sejenis membenci semua perkara.

“Saya ambil yang mana-mana boleh memperbaiki diri saya saja. Saya banyak berkongsi di media sosial tentang isu semasa, jadi apabila perkongsian saya tidak menyebelahi atau bertentangan dengan sesetengah pihak, mereka akan buka fake account dan menyerang saya.

“Ada yang memang langsung tidak munasabah.Mereka akan memperlekehkan kredibiliti dan kewibawaan kita. Mereka mendoakan yang tidak baik kepada saya di ruang komen. Bagi saya, mereka ini adalah orang yang berjiwa tidak tenang dan suka mencari kesalahan orang lain.

“Mereka lebih rela meluangkan masa cari silap orang berbanding fokus untuk mempertingkat diri sendiri,” tuturnya.

Berkongsi mengenai kes yang tidak pernah dilupakan sepanjang bergelar peguam, Nor Zabetha mengakui banyak kes yang meninggalkan kesan kepada dirinya terutama yang melibatkan mangsa kanak-kanak.

“Sebelum menjadi peguam dan sekiranya saya bukan peguam, saya mungkin tidak tahu bahawa betapa realiti sebenarnya kes-kes di negara kita ini banyak yang di luar akal kita.

“Pelakunya ibu dan bapa atau ahli keluarga. Malangnya anak-anak ini dikhianati, sama ada secara seksual atau fizikal.

“Setiap kali saya menemu ramah mangsa kanak-kanak ini, dia memberikan kesan kepada saya. Mereka tak sepatutnya melalui pengalaman-pengalaman hitam seawal usia begini,” katanya ringkas.

Mengakhiri perkongsian, Nor Zabetha turut mempunyai perancangan mahu mengembangkan bisnes firma guaman miliknya itu.

Dia juga berjanji mahu terus berkhidmat sebagai peguam dan berkongsi dengan orang awam menerusi kandungan-kandungan yang dihasilkan di ruang maya serta menjadi panel seminar atau forum berkaitan perundangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN