KUALA SELANGOR – Kawalan ke atas warga asing di sesebuah kawasan perumahan terutama flat boleh dilakukan sekiranya pengurusan kediaman itu menetapkan kuota unit penyewaan kepada golongan tersebut.
Undang-undang kecil tambahan kawalan rumah kos rendah bagi warga asing itu dibawa Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) sesebuah perumahan strata dengan nasihat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pesuruhjaya bangunan.
Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Yusli Askandar berkata, perkara itu dibawa bagi ketetapan Mesyuarat Agung JMB untuk langkah keselamatan dan perlindungan.
Katanya, penetapan undang-undang kecil itu adalah selaras dengan dasar kawalan warga asing yang dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan undang-undang negara ini.
Justeru, beliau menegaskan, undang-undang kecil itu lebih memfokuskan kepada situasi lokaliti dan komprehensif selain berfungsi sebagai penapisan identiti dan latar belakang dalam kalangan warga asing.
“Antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah pendidikan, dokumen pekerjaan atau pendidikan yang sah, permit atau visa serta apa jua syarat bersesuaian dengan situasi lokaliti tersebut.
“Ini seterusnya memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih kerap terutama jika ada isu berbangkit melibatkan warga asing seperti kecurian, gangguan seksual dan kacau ganggu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menegaskan, tindakan tersebut perlu bersifat kolaborasi antara semua pihak termasuk warga tempatan, JMB dan PBT agar keselamatan penduduk berada pada tahap maksimum selain dapat mengawal aktiviti warga asing.
Ditanya mengenai tindakan JMB atau mana-mana individu yang tidak menghalang warga asing menyewa di bangunan srata, Mohamad Yusli menjelaskan orang ramai perlu memahami definisi warga asing itu sendiri.
“Warga asing merujuk kepada individu termasuk mereka yang memegang pasport dari negara lain dan menetap di Malaysia bagi satu tempoh tertentu berdasarkan permit atau visa.
“Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 92 serta Seksyen 340 Kanun Tanah Negara menyatakan hak kepada warganegara untuk memiliki harta dan hak untuk membuat urus niaga ke atas hartanya termasuk penyewaan.
“Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. Maka, warga asing dibenarkan menetap di mana-mana bangunan berstrata mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990,” katanya.
Namun, Mohamad Yusli menegaskan tindakan boleh diambil apabila kawasan kediaman itu sesak di bawah Seksyen 79 Akta Kerajaan tempatan 1976.
















