KUALA SELANGOR – Peniaga asing di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam di sini, seolah-olah mencabar pihak berkuasa apabila masih berdegil meneruskan operasi perniagaan meskipun pernah diserbu pihak berkuasa sebanyak enam kali.
Serbuan dijalankan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sejak Oktober 2022 sehingga Mac lalu dengan purata sebanyak dua kali setahun.
Setiausaha MPKS, Mohamad Yusli Askandar berkata, tindakan orang tempatan memberikan lesen perniagaan kepada warga asing dipercayai punca golongan tersebut terus bermaharajalela berniaga di lokasi berkenaan.
Menurut beliau, MPKS mengambil tindakan sewajarnya melalui operasi yang dilaksanakan sebelum ini seperti sitaan dan menarik semula lesen perniagaan.
“Hasilnya sepanjang tempoh itu sebanyak 83 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Sebanyak lima premis telah disita dan enam lesen perniagaan ditarik oleh Jabatan Penguatkuasaan MPKS.
“Selain itu, pemantauan turut menyasarkan operasi pasar malam dengan melakukan tiga sitaan,” katanya dalam kenyataan kepada Kosmo! semalam.
Mohamad Yusli mendedahkan, aktiviti perniagaan melibatkan warga asing di kawasan tersebut sukar dibanteras kerana pemilik perniagaan memilih untuk menggaji orang asing untuk memudahkan transaksi jualan mereka.
Ini berikutan terdapat warga tempatan yang menjual barangan keperluan seperti makanan dan minuman dari negara luar kerana terdapat permintaan yang tinggi dalam kalangan warga asing di lokasi tersebut.
“Kita sedar antara aduan yang kerap dibangkitkan adalah isu perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing. MPKS telah mengambil tindakan mengikut bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarat-syarat lesen yang ditetapkan MPKS,” ujarnya.
Mohamad Yusli berkata, antara syarat ditetapkan MPKS kepada peniaga restoran dan runcit adalah dilarang menggaji warga asing kecuali mendapat permit atau visa pekerjaan berkaitan sektor perniagaan daripada Jabatan Imigresen (JIM).
“Pemilik lesen perniagaan juga diwajibkan untuk menggajikan 30 peratus warga tempatan sebagai pembantu dan pekerja di premis mereka.
“Warga asing tidak dibenarkan membuat permohonan lesen yang berada dalam kategori lesen serta-merta,” katanya.
Tambah beliau, MPKS selaku PBT di daerah Kuala Selangor mempunyai bidang tugas yang tertakluk kepada aktiviti perniagaan dan kebersihan.
“Tindakan terhadap warga asing adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen. MPKS sedia membantu pihak-pihak berkaitan dalam membanteras aktiviti dan penempatan pendatang asing tanpa izin,” katanya.
Kosmo! kelmarin melaporkan lebih 1,000 warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar ‘menjajah’ Taman Alam Jaya, Puncak Alam sejak 10 tahun lalu dengan menguasai perumahan flat dan rumah kedai sekali gus menjadi koloni asing di kawasan itu.
Mereka turut mengusahakan perniagaan seperti kedai runcit dan makanan di kawasan tersebut, malah pada hujung minggu, lokasi tersebut tidak ubah ‘bandar mini’ warga asing dengan kehadiran rakan-rakan senegara dari daerah lain.
Situasi itu membuatkan penduduk tempatan rimas dan merayu pihak berkuasa supaya melakukan operasi besar-besar terhadap kumpulan itu.














