GEORGE TOWN – Orang lain berhutang, orang lain pula yang menanggung akibatnya. Itu nasib yang dialami segelintir individu apabila terpaksa menanggung hutang yang dibuat rakan baik sehingga menyebabkan hubungan renggang, malah terputus.
Ada juga dalam kalangan mereka yang terpaksa mengemis bagi mendapatkan semula wang yang dipinjamkan.
Seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Fahmi, 38, berkata, dia kini trauma memikirkan hutang berjumlah RM100,000 yang belum dijelaskan rakan perniagaannya sejak 10 tahun lalu.
“Sudah berkali-kali saya minta dia menjelaskan hutang itu walaupun mendapat untung besar, tetapi dia culas. Semasa dalam proses meminjam, dia sanggup merayu, malah datang ke rumah untuk berbincang.
“Dia mencadangkan saya yang merupakan kakitangan awam membuat pinjaman peribadi berjumlah RM100,000. Setelah pinjaman diluluskan, dia hanya membayar ansuran RM800 sebulan selama enam bulan.
“Rasa bagai nak gila apabila pihak bank beritahu ada tunggakan berbulan-bulan lamanya. Saya memang tidak mampu bayar sebab ada komitmen lain,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut Fahmi, suatu ketika dahulu, produk yang mereka jual begitu popular dan ramai pengikutnya memperoleh keuntungan berlipat ganda.
“Masalah sampai ke kemuncaknya apabila nama saya disenarai hitam. Rakan pula gagal dikesan, malah dikatakan sudah menukar nombor telefon baharu.
“Saya ada ke rumahnya, namun keluarganya beritahu dia sudah berpindah ke Kuala Lumpur selepas berpisah dengan isterinya. Memang dunia terasa gelap seketika.
“Saya sampai tahap benci dan putus sahabat. Kemarahan memuncak apabila dia memuat naik foto percutian mewah di luar negara termasuk membeli-belah barangan berjenama di media sosial,” katanya.
Fahmi menambah, sehingga kini dia masih belum melangsaikan hutang tersebut dan terpaksa membuat penjadualan semula pinjaman.
Di Ipoh, gara-gara terlalu mempercayai rakan, seorang guru agama kerugian hampir RM10,000 selepas meminjamkan wang itu kepada sahabatnya yang mendakwa berada dalam kesempitan.
Amin berkata, dia kerap membantu orang ramai termasuk saudara mara yang berdepan masalah kewangan, namun kecewa apabila mereka memberikan pelbagai alasan ketika diminta membayar hutang tersebut.
“Pelbagai janji mereka tabur asalkan dapat wang. Apabila ditanya tentang bayaran balik mereka mula mereka cerita sedih sebagai alasan,” katanya yang menggunakan wang simpanan untuk memberikan pinjaman tersebut.
Rata-rata mereka yang berhutang itu merupakan individu yang dikenali sejak sekian lama.
“Mungkin mereka ingat saya guru agama, jadi saya akan menghalalkan pinjaman tersebut, tetapi saya juga manusia biasa ada komitmen keluarga.
“Ada yang bayar separuh kemudian menyepikan diri,” katanya yang sudah serik meminjamkan wang kepada orang lain.















