Permainan judi online boleh menyebabkan ketagihan sehingga ada yang sanggup mencuri dan berhutang dengan lintah darat. – GAMBAR HIASAN

Ketagih judi online sampai hutang along

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENJADI kebiasaan buat seorang anak muda yang hanya ingin dikenali sebagai Acap untuk duduk melepak bersama rakan-rakannya yang lain setelah habis bekerja.

Pada satu hari, ketika melepak, dia melihat rakan-rakannya itu bermain judi online dan timbul keinginan dalam dirinya untuk turut mencubanya juga.

“Saya sebelum ini tidak pernah berjudi dan tidak tahu bagaimana judi online dimainkan.

“Apabila melihat rakan-rakan saya yang lain bermain sehingga ada yang mendapat wang akhirnya membuatkan saya turut terpengaruh untuk belajar mencuba,” katanya yang hanya bekerja di sebuah kilang perabot kepada Panorama.

Dia pada mulanya sekadar suka-suka untuk mencuba permainan judi online itu dan yakin dirinya tidak akan terjebak dengan ketagihan permainan tersebut.

Namun lama-kelamaan, dia mula ketagih dengan judi online itu dan banyak wangnya dihabiskan untuk tujuan itu.

Acap sendiri tidak mengetahui bagaimana dia boleh ketagih dengan permainan tersebut.

“Mungkin disebabkan saya pernah memenanginya beberapa kali dan itu membuat saya ketagih untuk terus bermain judi online ini.

“Saya dapat rasakan hari saya tidak lengkap jika tidak bermain permainan ini,” jelasnya.

Ketagihannya terhadap permainan judi online itu semakin hari semakin teruk sehingga menyebabkan Acap sering berhadapan dengan masalah kewangan.

Malah, gaji yang diterimanya hasil titik peluh kerja banyak dihabiskan untuk tujuan tersebut. Wang yang sepatutnya digunakan untuk membayar bulanan motosikalnya juga digunakan untuk berjudi.

Ini menyebabkan bayaran bulanan tertunggak sehingga menyebabkan motosikal yang baru dibelinya terpaksa ditarik.

Acap menjelaskan, disebabkan judi online juga dia sering meminjam wang daripada rakan-rakan dan keluarganya.

“Kerana sering meminjam kepada keluarga dan langsung tidak membayar kembali membuatkan keluarga saya sendiri mula ‘meluat’ dengan perangai saya.

“Akhirnya saya tidak dapat lagi meminjam wang daripada mereka,” katanya.

Kerana judi online juga dia mula menjadi ‘tangan panjang’ dan mencuri duit ibu bapanya untuk tujuan tersebut.

Ketagihan Acap terhadap judi online akhirnya diketahui oleh keluarganya.

“Abang saya ternampak saya sedang bermain judi online di telefon pintar.

“Keluarga saya amat memarahi saya pada ketika itu kerana tidak menyangka bahawa saya boleh terjebak permainan itu,” jelasnya.

Meskipun keluarganya menasihati agar dia tidak lagi terlibat dengan permainan judi online, ia bagaikan ‘masuk telinga kiri, keluar telinga kanan’.

Ini kerana Acap masih tidak serik dan terlibat dengan judi online itu.

Boleh dikatakan wang yang dia habiskan untuk berjudi itu lebih banyak berbanding yang dimenanginya.

“Disebabkan judi online juga saya sanggup meminjam wang daripada along.

“Saya hanya meminjam sedikit sahaja, tetapi saya tidak mampu untuk membayarnya kembali disebabkan masalah kewangan.

“Saya hidup dalam ketakutan apabila sering dicari oleh mereka dan takut untuk memberitahu keluarga perkara sebenar,” bicaranya.

Akhirnya, keluarganya mengetahui bahawa dia terjerat dalam hutang ah long setelah mereka datang mencarinya di rumah.

Acap kemudian berterus terang dan mengakui dia meminjam wang daripada ah long semata-mata untuk judi online.

Dia menangis dan merayu supaya keluarganya menolongnya dan Acap berjanji untuk tidak lagi terlibat dalam permainan tersebut.

Oleh kerana kasih sayang keluarganya terhadap dirinya yang merupakan anak bongsu, ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain sanggup berkongsi duit untuk membantunya agar keluar daripada masalah itu.

“Pengorbanan keluarga membuat saya sedar akan kesilapan saya dan saya amat berterima kasih kepada mereka kerana sanggup membantu saya.

“Saya berjanji di hadapan keluarga saya untuk tidak lagi bermain permainan judi online lagi,” katanya.

Acap mengakui dia kini sudah insaf dan tidak lagi terlibat dalam permainan itu kerana sedar akan kesilapan yang dilakukan.

Dia juga menitipkan pesan kepada mereka di luar sana jangan sesekali mencuba untuk terlibat dengan judi online kerana ia mendatangkan lebih banyak keburukan dalam hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN