fbpx
Mark (berdiri) bersama salah seorang kakitangan Verity Intelligence melakukan semakan dan saringan sijil akademik pekerja.

Lebih 1,300 kes dikesan tipu sijil akademik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lebih 1,300 kes sijil akademik palsu dikesan digunakan segelintir individu terutama dalam kerjaya bagi tempoh Januari 2023 sehingga Jun tahun ini.

Menurut Pengarah Urusan Verity Intelligence, Mark Leow, pihaknya mendapati kes pemalsuan sijil akademik membabitkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan ijazah sarjana muda meningkat setiap tahun.

“Secara keseluruhan, Ve­rity Intelligence telah menyaring kira-kira 45,000 pekerja bagi tempoh tersebut dan mengesan sekurang-kurangnya 70 hingga 80 kes sijil akademik palsu dalam sebulan.

“Daripada jumlah tersebut, didapati hampir 75 peratus sijil akademik yang dipalsukan ­melibatkan sekolah dan universiti tempatan, manakala 25 peratus lagi daripada institusi luar negara,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Bagaimanapun sebelum ini terdapat penipuan membabitkan doktor falsafah (PhD).

Mark berkata, individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut kebanyakannya terdesak untuk mendapatkan pekerjaan selain berharap sijil berkenaan dapat membantu mereka membangunkan kerjaya dengan kenaikan pangkat.

“Peningkatan kes ini juga ke­rana kami melaksanakan lebih banyak pemeriksaan apabila syarikat berasa bimbang tentang implikasi jika mengupah seseorang yang menggunakan sijil akademik palsu,” jelasnya.

Kata Mark, pihak berkaitan perlu memandang kes penggunaan sijil akademik palsu satu perkara yang serius kerana ia merupakan kesalahan jenayah untuk individu yang membeli termasuk pihak yang menjual.

“Syarikat, polis dan pihak kementerian harus mengambil tindakan serius terhadap permasalahan ini.

“Seperti di Singapura, Kementerian Tenaga Manusia mewajibkan semua pemohon dan pemegang Pas Pekerjaan mengesahkan sijil pendidikan mereka,” jelasnya.

Tambahnya, Verity Intelligence adalah salah satu daripada 12 syarikat yang dipilih secara global untuk membantu kerajaan Singapura membuat saringan ke atas latar belakang akademik pekerja.

Justeru itu, beliau menge­syorkan agar Malaysia melaksanakan amalan sama untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat tersenarai awam sebagai satu usaha mandatori kerana mempunyai kepentingan awam.

Kosmo! semalam melaporkan sindiket penjualan sijil akademik palsu kini semakin berani apabila secara terang-terangan mempromosikan ke­giatan mereka di media sosial dengan tawaran harga serendah RM1,500 hingga RM4,000.

Kegiatan tersebut yang menggunakan platform Instagram dan Facebook turut menyasarkan individu yang terdesak ‘memiliki’ kelayakan akademik bagi tujuan mencari pekerjaan.

Lebih membimbangkan apabila sindiket terbabit berani menyamar dan berselindung dengan nama tertentu kononnya berada di bawah kendalian Kementerian Pendidikan semata-mata untuk mengaburi orang awam dan pihak berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN