PERKAHWINAN yang dibina atas dasar cinta antara satu sama lain tidak boleh menjadi satu kepastian bahawa kedua-dua pasangan akan hidup bersama selama-lamanya.
Malah, ramai pasangan yang terpaksa mengakhiri hubungan tersebut meskipun sebelum ini mereka menyayangi antara satu sama lain.
Itulah juga situasi yang dihadapi oleh seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Sufi.
“Saya terpaksa melepaskan isteri tercinta kerana dia tidak mahu melahirkan zuriat buat saya.
“Dia sendiri yang memberi kebenaran kepada saya untuk berkahwin lain jika inginkan zuriat tetapi syaratnya saya mesti melepaskannya terlebih dahulu,” katanya yang kini berusia hujung 30-an.
Sufi menjelaskan, pada awal perkahwinan mereka, dia mengerti dan memahami akan kehendak isterinya itu yang ketika itu tidak mahu mendapatkan anak segera selepas mereka berkahwin.
Mereka berdua memilih untuk stabil terlebih dahulu dalam pekerjaan dan kehidupan sebelum memikirkan perancangan untuk mendapatkan anak.
Seiring berjalannya waktu, kedua-dua mereka berjaya dalam pekerjaan masing-masing dan isterinya itu juga menjawat jawatan yang penting di tempat kerjanya.
“Setelah hampir lapan tahun dan saya merasakan kehidupan kami telah stabil dan mampu memberi segala-galanya buat anak, saya menyatakan hasrat kepada isteri saya untuk kami mendapatkan zuriat.
“Tetapi dia menjawab bahawa belum bersedia untuk mengandung kerana sibuk dengan urusan kerja dan dia meminta saya memberikan masa kepadanya,” jelas Sufi.
Sufi mengakui dia berasa begitu sunyi sekali di rumah tanpa kehadiran cahaya mata.
Malah, dia sendiri cemburu melihat rakan-rakannya yang lain sering menghabiskan masa dengan anak masing-masing.
“Ketika di tempat kerja, rakan-rakan menceritakan tentang aktiviti hujung minggu bersama anak-anak mereka.
“Ada yang menemani anak ke klinik bola sepak, kelas latihan renang dan lain-lain lagi dan saya juga mempunyai keinginan yang sama untuk membawa anak sendiri melakukan aktiviti yang digemarinya.
“Namun, saya harus pendam hasrat itu di dalam hati kerana masih belum mempunyai anak sendiri,” katanya.

Malah, Sufi beberapa kali menyatakan hasrat itu kepada isterinya, tetapi jawapan yang diterimanya tetap sama.
Mereka berdua kadangkala sering bergaduh akan hal tersebut.
Sufi berkata, isterinya itu tidak mahu memiliki anak kerana itu akan mengganggu kerjayanya.
“Dia memberi alasan bahawa dia melihat ramai rakan-rakannya seperti tidak cukup masa apabila memiliki anak kerana banyak perkara yang harus diuruskan.
“Malah, dia menyatakan bahawa selesa dengan kehidupan sekarang dan bebas untuk melakukan apa dan pergi ke mana sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Sufi cuba memujuk isterinya itu dan mengatakan dengan adanya anak sendiri sekurang-kurangnya apabila mereka berdua tua kelak akan ada orang yang akan menjaga mereka.
Isterinya itu menjawab bahawa tidak semestinya anak-anak yang akan menjaga mereka apabila tua kelak.
“Dia memberi contoh, ada saudara- maranya yang dihantar oleh anak-anak ke rumah penjagaan orang tua.
“Saya cuba memujuknya dan dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak mahu melahirkan zuriat kami.
“Saya amat mengenali isteri saya, jika dia berkata demikian dia akan memegang kata-kata itu,” jelasnya.
Di hati Sufi, dia amat berkeinginan untuk memiliki zuriat sendiri.
Sufi tidak menafikan disebabkan bosan, dia ada menjalinkan hubungan dengan seorang wanita yang dikenalinya atas sebab urusan kerja.
Malah, dia sering meluahkan masalah kepada wanita tersebut.
“Hubungan kami menjadi semakin rapat dan wanita itu menyatakan dia bersedia untuk berkahwin dengan saya dan memberikan saya zuriat.
“Wanita ini lebih memahami diri saya berbanding isteri saya, akhirnya saya berterus terang kepada isteri saya tentang hubungan saya dengan wanita ini.
“Saya menyatakan hasrat untuk berkahwin satu lagi dengan wanita ini, isteri saya membenarkan saya untuk berbuat demikian tetapi dengan syarat saya mesti melepaskannya,” katanya.
Sufi kemudian mengambil keputusan untuk melepaskan isterinya itu dan mereka berdua sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.
Sufi kemudian berkahwin dengan wanita tersebut. Dia kini berasa amat bahagia kerana dikurniakan zuriat dalam perkahwinan baharunya.














