Jabatan Perangkaan pada Jumaat lalu menerbitkan anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) awalan bagi suku tahun kedua 2024.
Berdasarkan anggaran awalan itu, ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2024, meningkat daripada 4.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Angka itu juga adalah yang tertinggi sejak suku tahun keempat 2022 (7.4 peratus).
Menurut Jabatan Perangkaan, ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong oleh faktor domestik dan eksport, dengan prospek positif untuk baki tempoh tahun ini.
Ketika kayu ukur ekonomi bersifat makro seperti KDNK dilihat menunjukkan pemulihan menggalakkan, mungkin ramai yang tertanya-tanya sama ada ia mampu diterjemahkan kepada kualiti kehidupan yang lebih baik dalam kalangan penduduk Malaysia.
Sudah tentu kesemua angka-angka pertumbuhan ini tidak memberi makna sekiranya ia tidak turut sama dinikmati oleh rakyat kebanyakan.
Bagi Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, angka KDNK menunjukkan bahawa ekonomi negara kian aktif bergerak, dalam erti kata lain transaksi perniagaan seperti kegiatan membeli dan menjual berlaku secara akfif.
“Yang menjual akan memastikan barangan yang dijual menepati apa yang dikehendaki pelanggan serta meletakkan harga dengan keuntungan yang sesuai.
“Manakala pelanggan pula telah menerima pendapatan melalui pekerjaan ataupun perniagaan mereka dan menggunakan sebahagian daripadanya untuk dibelanjakan kepada perkara yang diingini, sama ada barangan asas seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal atau barang bukan asas seperti makan di restoran, melancong dan seumpamanya,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Afzanizam berkata, ketika wujudnya peluang perniagaan adalah disebabkan aktiviti perekonomian yang bergerak laju, pada masa sama, angka KDNK tidak mengukur perkara seperti kualiti hidup rakyat dan kesenjangan pendapatan mereka.
“Perkara ini memerlukan petunjuk ekonomi yang berbeza,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pencapaian ekonomi lebih kukuh adalah berita yang harus disambut baik oleh keseluruhan rakyat kerana ekonomi global dilihat kekal rapuh walaupun beransur pulih.
Jelasnya, badan-badan penarafan ekonomi dan pelaburan global juga dilihat telah memberi thumbs-up kepada inisiatif yang sedang dibuat kerajaan dalam tempoh satu tahun lalu, termasuk penyasaran semula subsidi.
“Ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak praktis seperti penyalahgunaan subsidi dan penyeludupan telah berlaku selama berdekad lamanya, penstrukturan semula pastinya akan mengganggu kehidupan dan amalan yang sudah menjadi kebiasaaan.
“Kerajaan juga harus mempercepatkan polisi gaji progresif dan polisi gaji minima yang lebih tinggi supaya tenaga buruh negara dapat mengimbangi kenaikan kos sara hidup disebabkan penstruksturan semula subsidi,” katanya.















