fbpx
Antara tangkap layar diambil di Facebook menunjukkan pihak yang mahu menjual buah pinggang untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang.

Jual buah pinggang langsai hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kesempitan hidup dan berdepan masalah kewangan untuk membayar hutang membuatkan segelintir pihak nekad menjual buah pinggang mereka secara terbuka di Facebook walaupun mengetahui ia salah di sisi undang-undang.

Kegiatan haram itu dikesan dalam satu kumpulan Mencari Penderma Buah Pinggang di mana rata-rata penjual menawarkan organ masing-masing kepada pihak yang terdesak kerana terpaksa menunggu giliran terlalu lama untuk mendapatkan organ daripada penderma yang ada ketika ini.

Seorang wanita berusia 26 tahun yang merahsiakan identitinya, secara terang-terangan mengiklankan buah pinggangnya untuk dijual pada harga RM55,000.

“Terdesak mahu jual buah pinggang untuk langsaikan hutang. Darah O dan tiada masalah kesihatan. Kalau berminat tinggalkan nombor telefon,” katanya.

Kegiatan haram tersebut dikesan aktif sejak Disember 2022 dengan rata-rata penjual mele­takkan butiran diri seperti umur, jenis darah, kesihatan dan nombor telefon kepada pembeli.

Peniaga makanan ringan, Haffaz, 43, berkata, dia mahu menjual buah pinggangnya kerana mahu mendapatkan wang bagi menebus semula tanah ibu mertua yang digadai RM150,000 tiga tahun lalu.

“Ketika itu saya perlukan wang untuk menyelamatkan perniagaan tetapi nasib masih tidak menyebelahi saya. Saya tersungkur dan tanah yang ada, rumah kami tergadai.

“Isteri dan ibu mertua tidak tahu saya gadai tanah dan kini saya mahu jual buah pinggang untuk langsaikan hutang dan ambil semula geran,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut bapa kepada dua anak itu, dia pernah terfikir untuk bunuh diri tetapi setelah difikir, lebih baik dia menjual buah pinggang daripada nyawa.

Bagaimanapun, tambahnya, jika buah pinggangnya tidak laku, dia rela menjual matanya asalkan tidak kehilangan isteri dan anak-anaknya.

“Saya tahu jual organ salah tetapi saya buntu di mana hendak cari wang. Saya boleh derma asalkan pesakit dapat beri saya duit untuk bayar hutang,” kata­nya yang memberitahu pencagar telah memaksa mereka mengosongkan rumah ketika ini.

Seorang pekerja kontrak berusia 32, berkata, dia mahu menjual buah pinggang untuk bayar hutang RM100,000 dan menampung kos pembedahan anak akibat sakit jantung berlubang.

Katanya, walaupun ia salah, namun itu sahaja jalan untuk mendapatkan wang dalam kuantiti banyak dengan kadar segera.

“Sebelum ini saya berniaga warung dan buat pinjaman RM100,000. Tidak lama kemudian anak bongsu saya disahkan hidap sakit jantung berlubang dan perlu RM80,000 untuk bedah,” katanya.

Jelasnya bapa kepada tiga orang anak itu, dia tidak tahan lagi dengan tekanan hutang sejak 2021 kerana emosi dan mentalnya sering terganggu.

“Lebih baik hilang organ daripada tidak dapat bayar hutang. Jika saya sakit kemudian hari, apa yang penting isteri dan anak-anak dapat hidup tenang tanpa gangguan mental lagi,” katanya.

Menurut lelaki itu, dia berhutang kerana kos hidup semakin tinggi tambahan pula jika tidak haram dan salah di sisi undang-undang, dia merasakan ramai yang akan bertindak sedemikian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN