fbpx
BEKALAN gula dan minyak masak bersubsidi dari Malaysia dijual secara terbuka di pasar sehari di wilayah Selatan Thailand. – AIMUNI TUAN LAH

Gula, minyak subsidi ‘bersepah’ di Siam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NARATHIWAT, THAILAND – Bekalan gula dan minyak masak yang merupakan barang kawalan di Malaysia dikesan masih dijual secara terbuka di pasaran kedai runcit dan nat (pasar sehari) di wilayah Selatan Thailand, di sini.

Meskipun kerajaan Malaysia melakukan pelbagai pendekatan termasuk kawalan rapi di pintu sempadan, namun barangan tersebut masih dijual di pasaran.

Seorang peniaga, Esah Mat Rofi, 55, berkata, gula dan mi­nyak masak dari Malaysia sudah sebati dengan masyarakat di sini sejak berpuluh tahun lalu.

Katanya, dia sentiasa mendapat bekalan gula dan minyak masak daripada pemborong di kawasan sempadan iaitu Rantau Panjang dan Bukit Bunga, Jeli di Kelantan.

“Penduduk di sini suka menggunakan minyak masak dan gula dari Malaysia kerana harganya yang murah dan lebih sedap digunakan dalam masakan.

“Harga sekilogram minyak masak peket dari Malaysia saya jual ketika ini ialah 39 bath atau RM5.03 dan gula pula 28 bath (RM3.61),” katanya.

Seorang penduduk Waeng, Mae Husin, 55, berkata, keluarga­nya menggunakan gula dan minyak masak Malaysia dalam makanan sejak lebih 30 tahun lalu.

Katanya, harga minyak kelapa sawit botol keluaran Thailand mahal dan pernah mencecah 80 bath (RM10.32).

“Bekalan gula dan minyak dari Malaysia tidak pernah terputus dan senang didapati termasuk di kedai runcit dan nat.

“Bekalan itu tidak pernah terputus dan kebanyakan penjual meletakkannya bersama barang jualan mereka,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Isa Ibrahim, 49, berkata, keluarganya juga memilih gula dan minyak masak peket keluaran Malaysia untuk digunakan dalam masakan.

“Penguatkuasaan di kawasan sempadan hanya dilakukan pihak berkuasa secara berkala.

“Tiada had pembelian gula atau minyak masak Malaysia di sini. Setakat ini kami tidak hadapi masalah kekurangan gula atau minyak masak kerana bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN