ALOR SETAR – Ramai wanita hidup sengsara apabila terpaksa menanggung hutang sehingga mencecah ratusan ribu ringgit yang ditinggalkan bekas suami selepas mereka bercerai gara-gara si lelaki kahwin lain.
Kebanyakan hutang adalah pinjaman peribadi yang dibuat isteri untuk suami atas dasar kepercayaan dan kasih sayang.
Selain itu, terdapat juga hutang yang dibuat suami dengan meminjam duit isteri dan kemudian membayarnya secara ansuran.
Bagaimanapun, selepas bercerai, si lelaki ‘cabut lari’ dan enggan melunaskan hutang itu.
Peguam Syarie dari Firma Irsamuddin Fitri & Associates, Irsamuddin Ikhsan berkata, beliau percaya ramai wanita yang ‘terperangkap’ dengan hutang sedemikian, tetapi tidak membuat tuntutan di mahkamah.
“Berdasarkan rekod di firma guaman saya, hanya terdapat lima kes yang membuat tuntutan hutang dalam perkahwinan setakat bulan lalu untuk tahun ini.
“Saya percaya ia disebabkan oleh kurangnya kesedaran orang ramai mengenai tuntutan ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, kes tuntutan tunggakan hutang dalam perkahwinan tidak sebanyak kes perceraian yang difailkan iaitu antara tiga hingga tujuh kes seminggu sahaja.
Katanya, berdasarkan kes-kes yang dikendalikannya, terdapat kes seorang pensyarah wanita membuat pinjaman peribadi berjumlah kira-kira RM100,000 di empat buah bank untuk kegunaan suaminya yang merupakan seorang kontraktor.
“Wanita berusia lingkungan 50-an itu membuat pinjaman peribadi atas namanya selepas diminta suami yang memerlukan modal untuk memulakan projek.
“Semasa perkahwinan, suami membuat bayaran pinjaman itu ke akaun isteri, namun tidak berbuat demikian selepas bercerai gara-gara si suami berkahwin lain di Thailand.
“Sehubungan itu, wanita terbabit membuat tuntutan hutang perkahwinan dan berjaya mencapai penyelesaian (pembayaran hutang) meskipun ketika itu prosiding sudah di peringkat perbicaraan di Mahkamah Syariah,” ujarnya.
Jelasnya, terdapat juga kes seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang juga kakitangan bahagian pengurusan di sebuah universiti mengeluarkan wang simpanan sehingga
RM200,000 untuk suaminya, seorang jurutera kerana mahu membeli saham.
“Pemberian wang itu dilakukan secara berperingkat dan diberikan kepada suami sebagai pinjaman dengan sebahagiannya telah dilunaskan.
“Namun begitu, selepas bercerai kerana suami didakwa mempunyai skandal dengan pembantu rumah warga Indonesia, pembayaran tidak lagi dibuat sehingga wanita terbabit tertekan dan mengambil tindakan undang-undang,” ujarnya.
Katanya, bagi kes tersebut, terdapat bukti pengaliran duit pembayaran pinjaman itu dari akaun suami kepada wanita terbabit semasa perkahwinan, sekali gus memudahkan proses tuntutan dibuat di mahkamah.
Dalam pada itu, kata beliau, mana-mana individu tidak kira wanita atau lelaki yang mengalami masalah berkaitan tunggakan hutang perkahwinan boleh mendapatkan nasihat berhubung perkara itu di Mahkamah Syariah atau peguam syarie.
Menurut beliau, sebenarnya wanita mahupun lelaki boleh membuat tuntutan hutang dalam perkahwinan selepas bercerai.
“Hutang dalam perkahwinan merujuk kepada sebarang hutang yang wujud sepanjang perkahwinan. Apa yang penting adalah bukti berkenaan hutang itu sebagai proses dokumentasi dan pembuktian di mahkamah.
“Semua pasangan perlu menyimpan segala bukti berkaitan apa jua hutang sepanjang perkahwinan mereka,” tambahnya.














