MARAN – Suatu waktu dahulu pekan Lubuk Paku di pesisir Sungai Pahang di sini, yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti rumah kedai dan balai polis menjadi laluan utama dan tumpuan orang ramai serta pedagang untuk berjual beli.
Namun, kini kewujudan pekan yang pernah menjadi tumpuan ramai itu kian lenyap ditelan zaman, seolah-olah sudah tidak dipedulikan, malah kawasan kampung juga sunyi apabila banyak rumah yang telah ditinggalkan.
Tinjauan Kosmo! mendapati, kawasan di pesisir sungai itu sunyi sepi dengan hanya sekali sekala kelihatan penduduk lalu lalang selain kelibat pemancing yang turun ke Sungai Pahang.
Deretan kedai kayu yang dulunya gah kini semakin uzur apabila hanya enam daripada 10 blok masih bertahan, manakala selebihnya telah roboh akibat peredaran masa.
Seorang penduduk, Zahei Tam,74, berkata, Lubuk Paku sememangnya menjadi sebuah pekan terkenal satu ketika dahulu sebelum kewujudan bandar Maran apabila ia menjadi pusat perdagangan penting di daerah itu.
Katanya, kawasan pesisir Sungai Pahang yang menjadi laluan utama itu juga menjadi lokasi persinggahan orang ramai, pedagang luar dan juga raja yang memudik Sungai Pahang pada masa itu.
“Di sini dahulu adalah pusat perdagangan dan merupakan pekan sehari terkenal di daerah ini yang menyaksikan orang ramai datang dan bermalam sebelum berjual beli dengan membawa barangan masing-masing.
“Malah, kawasan ini sering disinggahi raja untuk bermesra dengan rakyat jelata di sini. Bagaimanapun, kini Lubuk Paku tidak lagi membangun, malah seperti akan lenyap.
“Dahulu di sini ada kedai kopi dan lemang yang menjadi tumpuan ramai dan ada rest house, selalunya Almarhum Sultan Abu Bakar mudik dan singgah di situ,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, Lubuk Paku yang terkenal suatu ketika dahulu semakin lenyap sebagaimana robohnya satu persatu kedai kayu yang masih ada di pinggir Sungai Pahang itu.
Katanya, kewujudan bandar Maran telah mengubah tumpuan orang ramai yang menjadikan bandar itu sebagai lokasi perniagaan dan sebagainya.
“Lokasi Lubuk Paku yang agak jauh dari jalan besar ke bandar Maran juga menyebabkan ia sudah jarang disinggahi orang ramai,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Kampung Lubuk Paku, Jamaludin Md Amin berkata, pada masa ini hanya tinggal 86 buah rumah di kampung berkenaan yang kebanyakannya didiami warga tua berbanding ratusan kediaman sebelum ini.

Katanya, ramai anak muda di kampung itu telah berhijrah ke kawasan bandar untuk bekerja menyebabkan jumlah penduduk yang mendiami kawasan Lubuk Paku semakin mengecil.
“Saya berharap anak-anak muda dapat balik ke kampung dan mengusahakan tanah milik keluarga masing-masing yang terbiar kerana jika diusahakan saya percaya pendapatan mereka lebih baik daripada bekerja makan gaji.
“Dengan pembinaan jalan baharu menghubungkan banyak kampung di sini, ia sudah tentu mampu memberi kesan positif.
“Saya berharap generasi muda yang berjaya di luar sana dapat membawa pelaburan ke sini dalam usaha membangunkan semula kampung ini,” ujarnya.














