fbpx
JULINDA berjaya dalam perniagaan garam bukit jenama Aura Rezeki yang diusahakannya.

Ceritera Julinda bina ’empayar’ garam bukit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“AURA Rezeki bukan sekadar jenama, ia adalah kisah tentang ketabahan, kecekalan dan kasih sayang yang disematkan dalam setiap butiran garam bukit Himalaya yang kami hasilkan.”

Itu antara bait-bait kata yang berbutir daripada mulut wanita kuat ini tatkala mengimbas kembali detik-detik permulaan menjalankan bisnes berasaskan garam bukit.

Julinda Miswan, nama ringkas yang begitu sinonim dalam dunia perniagaan garam bukit Himalaya menerusi jenama Aura Rezeki.

Berkesempatan menemu bual wanita yang juga usahawan hebat dalam perniagaan, Julinda pertama sekali berterima kasih kepada semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan perniagaannya.

“Kami berjanji untuk terus berjuang dan memberikan yang terbaik, kerana kejayaan kami adalah kejayaan bersama.

“Terima kasih kepada semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini. Kita akan terus mencipta kejayaan dan mengukir sejarah,” katanya tatkala membuka bicara bersama Aura.

Menyorot kembali titik perjalanan dirinya terlibat dalam perniagaan sekitar sedekad lalu, anak bongsu daripada 14 beradik ini memberitahu, ia berpunca daripada desakan dan kepayahan hidup yang melanda.

“Saya mempunyai adik-beradik 14 orang dan saya yang paling bongsu. Bapa saya merupakan pengusaha belacan secara kecil-kecilan di kampung.

“Adik-beradik jugalah yang membuatkan saya ingin keluar dan bantu mereka.

“Mereka adalah ‘big why’ dan semangat saya untuk terus memilih bekerja keras dan menjadi kaya suatu hari nanti,” katanya

JULINDA (tiga dari kanan) sentiasa berusaha untuk membahagiakan ahli keluarganya.

Berkongsi lanjut, kesusahan yang pernah dialami wanita ini tidak berhenti setakat itu.

“Ketika sudah berkahwin, nak beli susu anak pun tak ada duit, pinjam sana sini untuk beli susu.

“Paling saya sedih, anak terpaksa berhenti minum susu dan hanya mampu minum air sirap dan teh sahaja.

“Saya teringat lagi ketika ulang tahun kelahiran anak kedua, ketika itu umurnya sembilan tahun dan dia minta makan piza.

“Saya dan suami mengasingkan besi buruk, kotak, barangan plastik yang dikumpul di belakang rumah untuk dijual. Hasil jualan itu kami belikan piza untuk hari jadi anak saya,” ujarnya.

Ditebak sebab memilih garam bukit sebagai perniagaan, anak jati Tanjung Sepat, Banting, Selangor ini ada ceritera tersendiri.

“Ketika tahun 2014, semasa awal-awal menjinakkan diri dalam bisnes (bukan garam), saya mengalami kejatuhan dan kemurungan dek desakan hidup.

“Semangat saya jadi hilang, hidup tidak terurus dan hilang keyakinan diri.

“Ketika itu, saya mencari penawar untuk masalah diri, sekali gus memulihkan semangat.

“Ketika itu, saya mula teringat ada seorang guru motivasi pernah berkongsi bahawa beliau mengekalkan semangat dan keyakinan diri serta kekal bertenaga dengan amalan mandi garam.

“Itulah permulaan saya mula mencari garam bukit. Saya amalkan mandian garam dengan menambah wangian aroma terapi pada garam mandian saya. Asbab itulah saya mula bangkit bersemangat dan bertenaga.

“Maka, bermulah idea untuk saya mula kongsikan resipi mandian garam ini kepada semua orang yang mempunyai masalah sama,” katanya.

SEBAHAGIAN pasukan Aura Rezeki yang banyak membantu Julinda membangunkan dan menguruskan perniagaan.

Ujar Julinda, dengan izin Allah SWT, dia mula mengusahakan produk mandiannya pada 2015 dengan berbekalkan modal RM300 sahaja.

“Alhamdulillah, perkara yang tidak pernah disangka apabila jualan garam mandian saya mencapai RM6 juta dalam masa enam bulan.

“Ia meningkat sekali ganda dan mencapai jualan kasar RM10 juta dalam masa setahun,” katanya.

Berkongsi mengenai cabaran dari awal penubuhan, dia berkata, syarikat telah melalui pelbagai fasa kejatuhan dan kebangkitan, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.

“Pada peringkat awal, sekitar tahun 2015 hingga 2016, saya sendiri sebagai pengasas produk mengangkat garam seberat 600 hingga 1,500 kilogram sehari menggunakan tulang empat kerat anugerah Allah ini.

“Cabaran fizikal ini benar-benar menguji ketahanan dan kekuatan saya. Namun, demi membina jenama Aura Rezeki, saya tidak pernah berputus asa.

“Setiap titisan peluh dan rasa keletihan, saya ingatkan diri bahawa usaha ini adalah untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Jelas Julinda, setiap cabaran yang dihadapi adalah pengalaman berharga yang menjadikannya lebih kuat dan matang.

Ujarnya, kejayaan dikecapi barisan ejen Aura Rezeki juga adalah bukti bahawa kerja keras dan semangat juang yang tidak pernah luntur akan membuahkan hasil.

Tidak sekadar memfokuskan kepada perniagaan semata-mata, Julinda tampil dengan menawarkan program khidmat nasihat motivasi secara percuma sebagai pulangan kepada masyarakat.

Jelasnya, program tersebut diperkenalkan bagi mereka yang mengalami masalah kehidupan dan perniagaan dengan tujuan membantu mencari jalan penyelesaian.

“Saya memilih memberi khidmat nasihat secara percuma kerana saya masih teringat ketika berada dalam keadaan titik paling bawah dalam hidup.

“Ketika gagal dalam perniagaan pada tahun 2014, duit tak ada, hutang banyak, bisnes tutup, ketika itu saya mencari pakar motivasi serta guru yang dapat membantu saya keluar daripada masalah.

“Namun, mereka mengenakan bayaran yang tinggi untuk setiap sesi motivasi dan latihan.

“Sedih ketika itu dan saya berazam jika Allah izinkan saya berjaya suatu hari nanti, saya akan memberi motivasi serta inspirasi kepada semua orang tanpa berkira tentang bayaran.

“Hal ini kerana, saya yakin dalam banyak-banyak perkataan yang saya kongsikan, mungkin ada satu akan menjadi titik tolak kebangkitan dan motivasi kepada mereka,” katanya.

Menerusi produk garam bukit Himalaya, Aura Rezeki kini mempunyai 40 rangkaian produk lain.

Bermula April lalu, syarikat itu mula memasarkan produk makanan siap dimakan, antaranya sambal garing sultan, rendang daging dan dendeng daging.

Selain memiliki sebuah wisma di Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor, syarikat itu turut membuka kilang di Halal Park, Sungai Petani, Kedah.

Selain itu, Aura Rezeki mempunyai beberapa outlet antaranya di Hotel Tenera, Bangi; Sungai Petani, Kedah; Bukit Bayas, Terengganu dan Taman Universiti, Skudai, Johor.

Julinda memaklumkan, Aura Rezeki juga dalam persediaan untuk memasarkan barisan produk ke luar negara dengan menyasarkan pasaran di Thailand dan Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN