KAMPAR – Durian kampung digelar peti atau ‘paty’ dalam dialek masyarakat Rawa di Gopeng, di sini, kini menjadi pencabar utama durian musang king dan duri hitam kerana keenakannya setaraf dengan durian ‘kayangan’ itu.
Durian peti yang dijual dengan harga mencecah sehingga RM30 sekilogram mempunyai isi durian yang kuning pekat, keorenan, berlemak, manis dan sedikit pahit.
Kebanyakan pokoknya telah mencecah puluhan atau ratusan tahun yang menyebabkan bekalannya terhad, sekali gus menjadi buruan penggemar raja buah itu setiap kali tiba musim.
Seorang pemborong durian, Zulkifli Sulaiman, 62, berkata, ramai yang tidak tahu mengenai durian peti kerana durian kampung, kahwin, musang king dan black thorn lebih mendominasi pasaran ketika ini.
“Durian peti ini sebenarnya pencabar utama musang king, malah jika pelanggan tahu buah ini sudan luruh, mereka akan membuat tempahan lebih awal,” kata semalam.
Katanya lagi, ramai yang menanam pokok durian peti ini, tetapi tidak menjadi kerana ia seperti musang king yang perlu dijaga dengan rapi serta cuaca kering dan lembap sepanjang tahun.
“Ia sesuai ditanam di kawasan berbukit dan berhampiran sungai untuk sumber air untuk terus hidup subur.
“Pokok durian peti yang ada kini sudah tua menyebabkannya tidak produktif untuk berbuah,” ujarnya.
Tambahnya, musim durian peti sekitar bulan ini atau Disember dengan kapasiti tidak lebih 1,000 biji buah yang dijual oleh penduduk kampung dan peraih di sekitar Gopeng.
Durian peti dikatakan mendapat nama kerana sebaik sahaja luruh, buahnya akan disimpan di dalam peti oleh orang dahulu untuk dijadikan makanan sekeluarga dan tidak dijual kerana keenakannya yang tersendiri.















