MUTAKHIR ini rancak ibu bapa berkongsi khabar gembira anak berjaya mengikuti program asasi, matrikulasi dan diploma Universiti Awam (UA) serta Politeknik.
Ada yang sudah mula mendaftar seawal 1 Julai lalu bagi program matrikulasi dan difahamkan mereka yang berjaya melanjutkan pengajian di Politeknik akan mendaftar pada 27 Julai ini.
Pelajar yang diterima masuk ke program diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula khabarnya akan memulakan sesi baharu pada hujung September.
Ada juga kenalan memaklumkan anak mereka memilih untuk masuk ke tingkatan enam bagi menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Apapun pilihan si anak, tahniah diucapkan dan semoga sukses mengejar impian masing-masing.
Buat yang tidak berjaya menyambung pengajian berikutan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang memberangsangkan, jangan sesekali berputus asa.
Ini bukan pengakhiran buat anda kerana ada banyak lagi peluang kedua yang boleh diteroka sekiranya berminat.
Tidak cemerlang dalam akademik bukan bermakna tiada masa depan. Mungkin ini masanya untuk anda melakukan perubahan dengan meningkatkan skil diri menerusi program-program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Tiada yang mustahil, misalnya antara solusi terbaik anda boleh menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan memulakan langkah mengikuti program sijil yang ditawarkan Kolej Komuniti dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Terdapat 105 Kolej Komuniti di seluruh tanah air yang menawarkan pelbagai program peringkat sijil antaranya Teknologi Maklumat, Kejuruteraan Elektrik, Sistem Komputer dan Rangkaian, Multimedia Kreatif Pengiklanan, Kulinari, Fesyen dan Pakaian, Animasi 3D serta banyak lagi.
Bagi yang berminat memohon menyambung pengajian di Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) juga ada banyak pilihan di bawah kelolaan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dan Institusi Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BKPLP).
Penulis sendiri teruja melihat senarai kursus yang ditawarkan, memang menarik!
Informasi lanjut senarai penuh sijil yang ditawarkan di ILKA boleh rujuk di laman sesawang Info UPU dan aplikasi UPUPOCKET.
Sekiranya tamat kursus, pelajar Kolej Komuniti dan ILKA boleh bekerja atau menyambung pengajian di peringkat diploma di Universiti Awam, Politeknik dan ILKA.
Syarat am kemasukan ke Kolej Komuniti dan ILKA juga mudah iaitu calon mestilah warganegara menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), boleh membaca, menulis dan mengira, manakala syarat khas pula tertakluk kepada program yang ingin diikuti misalnya had umur, dikhususkan untuk lelaki dan jenis kecacatan yang diterima.
Tunggu apa lagi? Jangan lepaskan peluang kedua ini, percayalah tiada yang mustahil dalam dunia ini, anda juga boleh berjaya seperti rakan-rakan lain.














