MASALAH keluarga seperti tiada kesudahan. Pasti ada sahaja perbalahan yang tercetus dalam media sosial walaupun isunya kecil.
Baru-baru ini muncul pula isu childfree dalam kalangan masyarakat. Lebih mengejutkan perkara tersebut diterima oleh orang beragama Islam.
Seperti semua sedia maklum, childfree adalah trend di mana setiap pasangan berkahwin memilih untuk tidak mahu memiliki anak.
Mungkin trend ini sudah biasa di negara-negara luar sehingga ada yang sanggup menggugurkan kandungan semata-mata tidak mahu memiliki zuriat.
Jika dikaji dengan mendalam, individu yang memilih childfree ini lebih tertumpu kepada pasangan generasi Z.
Antara alasan utama yang diketengahkan adalah tidak bersedia menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa, selesa hidup berdua dan juga berkaitan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Jika dilihat dalam media sosial, perkara ini sudah menjadi topik perbahasan. Ada golongan yang bersetuju dan ada juga yang tidak.
Perkara ini menjadi topik hangat apabila sepasang suami isteri memuat naik video kelantangan mereka yang menolak cahaya mata. Rata-rata yang bersetuju juga adalah dalam golongan anak muda.
Berdasarkan video tersebut, wanita itu menekankan dirinya seorang yang berkerjaya sehingga tidak boleh memberi tumpuan kepada anak.
Jadi, penulis tertanya-tanya adakah trend childfree ini hanya diikuti golongan muda yang baru berumah tangga dan berkerjaya.
Bagi mendapatkan jawapan, Kaunselor Berdaftar dan Terapi Kekeluargaan, Zumasni Rajikin menyenaraikan beberapa punca individu boleh terjebak alam isu childfree.
“Golongan yang memilih childfree ini seorang yang berfikiran bebas. Rata-ratanya mengikuti trend kerana mahukan kebebasan tanpa terikat dengan tanggungjawab.
“Kadangkala, golongan ini mengikuti trend tersebut kerana cepat terpengaruh dengan perkara tular mengenai childfree.
“Disebabkan itu pentingnya menerapkan ilmu agama bagi setiap individu supaya tidak terpesong dengan ajaran Islam,” katanya.
Berbalik kepada persoalan asal, Zumasni bersetuju trend ini mendapat sambutan pasangan muda yang baru berkahwin dan memiliki kerjaya serta pendapatan tetap.
“Tidak dinafikan trend ini lebih diikuti golongan yang bekerjaya dan anak muda kerana mereka mudah terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang disebarkan.
“Kalau kita tengok orang yang bekerja biasa, mereka tak pernah terfikir untuk tolak rezeki cahaya mata.
“Bagi mereka, seronok kalau tiada anak kerana tak ada tanggungan dan boleh fokus kepada kerja,” ujarnya lagi.
Zumasni turut memaklumkan golongan berpendapatan tetap atau stabil sememangnya lebih suka mementingkan diri sehingga tersasar suruhan Allah.
“Orang yang banyak duit kebanyakan tidak kisah dan boleh buat apa sahaja. Pendapatan mereka selalunya diutamakan.
“Namun, hakikatnya rugi sekiranya tidak mempunyai anak. Allah SWT sudah tetapkan sesuatu perkara bersebab seperti fitrah memiliki zuriat,” katanya.














