fbpx
Zurena memasang impian untuk memilik produk sendiri.

Zurena yakin dengan rezeki perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI memulakan sesuatu perniagaan dengan jenama sendiri, ia bukan satu perkara yang mudah.

Kebiasaannya, kekangan kewangan, masa dan kurang pengalaman menjadikan ia antara halangan terbesar bagi seseorang memulakan bisnes.

Seperkara lagi, siapa kata, menjadi usahawan itu hanya tertumpu kepada pengasas atau pemilik produk semata-mata kerana individu bergelar ejen atau pengedar mahupun dropship turut boleh bergelar usahawan.

Hakikatnya, peranan golongan itu amat penting dalam menentukan jualan sesuatu produk di pasaran kini.

Sama seperti wanita cekal ini, minat dalam perniagaan tidak menghalang ibu kepada tiga cahaya mata ini menjana pendapatan sendiri.

Walaupun dia bukanlah pengasas produk, semangat dan kerja keras Zurena Mohd. Jadi, 48, wajar dijadikan contoh khususnya kepada individu yang mahu berniaga tanpa memiliki produk sendiri.

Menurut Zurena yang juga seorang penjawat awam, meskipun memiliki kerjaya tetap dan boleh dikatakan stabil dari segi ekonomi, ia tidak membantutkan hasratnya untuk berniaga.

“Mungkin ramai yang kata buat apa hendak bekerja keras sedangkan sudah ada pendapatan tetap dan stabil.

“Saya lakukan kerana minat dan disebabkan itu saya mula mencari maklumat mengenai apa sahaja produk yang berada di pasaran untuk dijual tanpa ada rasa malu,” katanya kepada Aura.

Ujarnya, yakin dengan rezeki yang mampu diraih hasil daripada berniaga membuatkannya nekad mendaftar sebagai ejen produk kesihatan dan kecantikan beberapa tahun lalu.

“Saya hanya fokus kepada satu produk dan sejak itu terus melangkah ke depan. Saya juga mahu pendapatan yang lumayan walaupun bukanlah bergelar seorang pengasas atau pemilik jenama sendiri.

“Syukur, apa yang saya lakukan amat bertepatan dengan status dan kemampuan diri. Saya juga menjalankan urusan jual beli melalui dalam talian yang amat memudahkan dan yang pasti tidak mengganggu urusan harian sebagai seorang isteri, ibu serta pekerja,” katanya.

Kongsi Zurena, selepas bertapak dalam perniagaan lebih daripada lima tahun, dia kini bergelar ketua pasukan atau ‘master team leader’ dalam jenama yang diusahakan.

“Apabila berjaya ke tahap ini tentu saja saya perlu lebih fokus kerana bukan hanya memikirkan pendapatan sendiri, malah pada masa sama mempunyai ahli pasukan yang perlu dibimbing.

“Jadi, saya sering mengingatkan ahli pasukan supaya sentiasa fokus dan jangan sesekali jadikan perniagaan ini sebagai perkara sampingan dalam kehidupan,” ujarnya lagi.

ZURENA bersama suami dan tiga cahaya mata mereka

Zurena berkata, dia juga mempunyai impian mempunyai jenama sendiri satu hari nanti.

“Saya mempunyai hubungan baik dengan pengasas jenama yang saya usahakan ini selain sering berbincang bersamanya bagi menambah ilmu dan kaedah menjana pendapatan.

“Kini saya lebih tertumpu kepada membimbing usahawan baharu yang ingin menjana pendapatan sendiri dan saya yakin semua individu mampu berjaya sekiranya ada keinginan,” katanya.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan ini, persaingan kewujudan pelbagai jenis produk dan jenama di pasaran juga menjadi antara cabaran terbesar kepada dirinya.

“Kami sebagai ejen dan dropship juga ada suka dukanya. Lumrah ada pasang surut jualan, namun semuanya boleh diatasi sekiranya ada semangat berterusan yang kuat.

“Disebabkan bukanlah seorang pengasas, kami berharap pada komisen jualan selain ganjaran lain diberikan pengasas,” ujarnya.

Zurena berkata, di samping tugasnya, dia amat bersyukur kerana suami banyak membantu terutama dalam menguruskan hal rumah tangga.

“Kadangkala saya agak sibuk membimbing usahawan baharu dan suami banyak berkorban membantu.

“Tidak ada alasan untuk berjaya, tidak kiralah apapun status diri, semoga kejayaan diimpikan dapat diraih dengan kesungguhan diri,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN