fbpx
WARGA asing menjadikan kawasan lot kedai di Flat Bandar Suleiman, Klang sebagai tempat untuk bersembang sesama mereka. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

‘Janji jadi cleaner, sampai sini jadi PATI’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – “Saya ditipu ejen pekerjaan.”

Itu alasan diberikan seorang wanita warga Indonesia dikenali Masyitah, 35, apabila ditahan Jabatan Imigresen selepas didapati tiada permit kerja.

Kata janda tiada anak itu, dia memasuki negara ini sejak Disember tahun lalu dengan membayar sejumlah 5 juta rupiah (RM1,500) kepada agensi pekerjaan.

“Agensi janji saya akan be­kerja sebagai cleaner, namun apabila masuk Malaysia secara sah dibiarkan begitu sahaja.

“Sepanjang lapan bulan ­berada di negara ini, pelbagai kerja saya lakukan termasuk pembantu kedai sebelum ditangkap,” ujarnya yang menyewa bilik RM400 sebulan.

Dalam operasi bermula pukul 6 petang kelmarin itu, seramai 384 warga asing terdiri Bangladesh, Nepal, Indonesia, Myanmar dan Pakistan ditahan hasil pemeriksaan terhadap 1,700 individu.

Pengarah Imigresen Sela­ngor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, operasi tersebut hasil risikan selama tiga bulan susulan aduan orang ramai selain turut tular di TikTok.

Katanya, seramai 298 anggota dan pegawai termasuk dari Pasukan Gerakan Am, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, ­Majlis Bandaraya Diraja Klang, dan Jabatan Pendaftaran Negara terlibat dalam operasi bersepadu itu.

“Semasa serbuan didapati lokaliti perumahan flat tersebut meriah dengan himpunan warga asing yang membanjiri pasar minggu dan deretan kedai di kawasan flat tersebut.

“Kita telah melakukan kepungan pada perimeter berkeluasan 300 X 400 meter melibatkan empat zon antaranya lot kedai, kawasan padang permainan dan sekitar kediaman,”katanya.

Ujarnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat warga a­sing tidak memiliki permit dan tinggal lebih masa selama lima bulan.

“Ada juga langgar syarat pas apabila sepatutnya berada di sektor pembinaan, namun be­kerja sebagai juruwang kedai runcit,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN