TIDAK pernah dahagakan populariti apatah lagi mengejar kontroversi untuk meledakkan nama.
Begitulah pendirian empunya nama Amir Ahnaf yang kini kian dikenali ramai selepas meledak menerusi drama fenomena, Projek: High Council tahun lalu.
Baginya, populariti satu hal yang tidak perlu terlalu dikejar. Dia yakin, aset penting dunia glamor tersebut akan hadir seiring hasil kerja terbaik dalam setiap naskhah yang dijayakan.
Meskipun begitu, pemilik nama penuh Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin tidak menafikan kontroversi juga satu elemen penting yang mampu membuatkan nama mana-mana anak seni pantas dikenali.
“Kontroversi satu perkara yang bagus, sebab itu adalah antara alat pemasaran untuk meledakkan populariti seseorang.
“Perlu bijak jual diri dan bakat. Mungkin ada yang suka kontroversi dan gimik murahan tetapi tidak untuk saya,” kata pelakon berusia 24 tahun itu.
Jejaka tinggi lampai itu bagaimanapun menyelar segelintir pihak yang mudah mempercayai kontroversi direka-reka dengan sengaja bertujuan memburukkan pihak tertentu.
“Kadang-kadang, wujud segelintir orang begitu mudah percayakan kontroversi yang tiada pucuk pangkal.
“Mereka mudah terpengaruh dengan ‘bad controversy’ dan sebab itu ada segelintir artis dikenali disebabkan perkara sebegitu.

“Apa pun, saya akui kontroversi penting untuk kami cuma kena pandai bermain dengannya. Namun, ingin ditegaskan bahawa saya tak suka gimik murahan walaupun memang ada yang minta saya buat,” ujarnya.
Seperkara lagi, anak Terengganu itu juga bukan seorang yang gila perhatian apatah lagi gemar menjaja diri sendiri dalam media sosial dengan konten viral seperti sesetengah orang.
“Kalau orang terdekat yang kenal saya, saya bukan jenis yang ‘havoc’ dan tak suka benda bising.
“Sebenarnya saya seorang yang introvert. Saya rela asingkan diri daripada orang ramai berbanding menyerah diri jadi makanan kepada semut (orang ramai),” tuturnya.

Kahar
Teruja berkongsi tentang lakonan terbaharunya menerusi Kahar Kapla High Council, Amir berkata, naskhah tersebut merupakan hadiah istimewa untuk pencinta watak Kahar sebelum ini.
Baginya, watak Kahar sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya dan apabila karakter tersebut diangkat sebagai watak utama, jiwanya berbunga bangga.
Bukan itu sahaja, memegang watak utama di samping pelakon hebat seperti Aedy Ashraf serta beberapa pendatang baharu seperti Sky Iskandar, Thompson Goh dan Khenobu sudah cukup meledakkan lagi adrenalinnya untuk memberikan persembahan tahap lima bintang!
“Berlakon dengan barisan pelakon baharu memang berbeza dan kali ini getarannya lebih kepada dunia Kahar sebelum menjadi Kapla.
“Saya rasa barisan pelakon yang ada memang gempak walaupun ada yang pertama kali berlakon.
“Aedy pula orang lama yang saya memang sudah lama nak bekerja bersama.
“Dia ada banyak pengalaman dan saya mahu kutip ilmu dengannya,” ujarnya lagi.
Berlakon dalam sebuah filem yang mengangkat wataknya lakonan sebagai subjek penceritaan, Amir mengakui tidak terlepas daripada memikul beban tekanan apatah lagi ramai tidak sabar menanti filem tersebut di layar perak.
“Sejujurnya agak tertekan tetapi saya suka dengan tekanan begini sebab akan menjadikan saya lebih kreatif.
“Kalau tak ada tekanan, saya akan cepat lemau dan lesu.
“Memang bangga orang ingat watak Kahar tetapi stres juga sebab orang sudah letakkan satu tanda aras yang tinggi.
“Saya hanya boleh buat sehabis baik dan harap semuanya berjalan lancar,” jelasnya yang turut mengalami kecederaan kaki ketika sesi latihan filem tersebut.

Jadi abang
Sempat disoal kerisauannya terhadap impak watak Kahar pernah dikecam kerana menormalisasikan isu buli dan gengsterisme di sekolah berasrama, Amir menegaskan keperibadian ‘bad boy’ Kahar lakonan semata-mata.
“Apabila ada adik-adik jumpa saya dan tanya tentang Kahar, saya harus menunjukkan diri yang sebenar.
“Bila mereka kata minat dan mahu menjadi seperti Kahar, saya bawa diri seolah-olah abang kepada mereka, nasihatkan mereka agar jangan terikut perangai nakal Kahar di sekolah,” katanya.
Tambah Amir: “Dalam masa yang sama sebenarnya kita juga ingin menyampaikan mesej positif yang boleh dijadikan sebagai pengajaran buat semua.”
Ditanya tentang persediaan sekiranya mutu lakonan dibandingkan dengan barisan pelakon baharu lain dalam filem berkenaan, dia terbuka untuk menerima sebarang komen.
“Perbandingan adalah perkara yang bagus lebih-lebih lagi dalam industri perfileman.
“Apatah lagi, saya pelakon baharu dan sekarang semuanya seperti pertandingan.
“Kalau asyik muka sama sahaja yang mewarnai filem tanah air, bosan juga,” jelasnya.
Sebelum mengakhiri bicara, Amir berharap industri perfileman tanah air akan lebih meriah dengan dengan kehadiran ramai bakat baharu.
“Jadi, apabila ada ramai pelakon baharu berwajah Melayu yang berlakon, barulah dapat buat penonton kalangan generasi muda teruja nak tonton hasil karya tempatan.
“Jadi, teruskan buat apa sahaja perbandingan,” tuturnya.















