RAUB – Pengeluaran durian terutama musang king di Raub dijangka mengalami penyusutan dengan anggaran 10 juta biji selepas kebun-kebun durian seluas kira-kira 2,000 hektar di daerah itu disita.
Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkata, kira-kira 200,000 batang pokok durian termasuk musang king tidak boleh dikutip hasil kerana disita dengan setiap pokok menghasilkan purata minimum sebanyak 50 biji durian.
Katanya, pengurangan pengeluaran yang amat ketara itu melibatkan nilai jualan jutaan ringgit yang sekali gus menjejaskan ekonomi setempat.
“Jadi saya merayu kerajaan negeri dapat mencari kaedah menang-menang dengan pekebun agar buah yang ada dapat dikutip serta tidak merugikan,” katanya di sini semalam.
Menurut Yu Hui, pada masa ini pekebun juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan ladang durian sama ada untuk membaja, membersihkan kebun atau mengutip buah yang mula luruh.
Katanya, keadaan ini menyebabkan ada pokok durian yang hampir mati dan buah yang luruh rosak begitu sahaja.
“Situasi yang berlaku sudah tentu merugikan negara memandangkan Raub sudah terkenal dengan pengeluaran durian musang king di seluruh dunia,” ujarnya.
Baru-baru ini Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan 186 pekebun durian musang king di Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka sebelum ini.
Hakim Datuk Mohd. Radzi Harun dilaporkan berkata dalam penghakiman bahawa mahkamah mendapati pekebun yang terlibat disifatkan sebagai penceroboh di tanah berkenaan.
Pada tahun 2020, pekebun terbabit memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok musang king di sekitar Raub termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau dengan seluas 2,167 hektar.
Seramai 186 pekebun memfailkan permohonan dengan menamakan beberapa pihak termasuk Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri dan kerajaan Pahang sebagai responden.














