fbpx
Bangkai burung, tikus dan ular antara ditemui tukang paip ketika melakukan kerja-kerja pembersihan tangki air.

Mandi air bangkai burung, tikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai penghuni rumah tidak sedar mereka sebenarnya terdedah kepada risiko menggunakan air kotor dan tercemar untuk urusan harian selepas tidak pernah mencuci tangki air di kediaman masing-masing.

Sikap sambil lewa itu menyebabkan ada penghuni yang minum dan mandi daripada air tangki yang dicemari pelbagai kotoran termasuk bangkai haiwan seperti ular, burung dan tikus.

Mendedahkan perkara itu, seorang tukang paip, Muhd. Adib Ise, 27, berkata, dia telah melalui pelbagai pengalaman pelik termasuk menemui bangkai ular dan kelawar ketika melakukan kerja-kerja mencuci tangki air.

“Tangki yang mudah kotor adalah dari jenis fiber. Kalau sudah lima tahun tidak pernah cuci memang agak teruk kotorannya selain bekeladak dan berlumut. Tangki fiber ini masih digunakan rumah-rumah lama.

“Selain itu, saya juga pernah menemui bangkai ular dan kelawar di dalam tangki air ketika sedang membaiki bumbung yang bocor. Alang-alang berada di atas bumbung, saya cuci sekali tangki airnya.

“Masa keluarkan air dalam tangki air yang tiada penutup itulah saya jumpa bangkai tersebut.

“Penghuni rumah itu tidak tahu selama ini mereka gunakan air yang telah bercampur bangkai haiwan sama ada untuk mandi dan memberus gigi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Mengulas mengenai air tangki rumah berkeladak, Muhd. Adib berkata, antara punca keadaan itu berlaku adalah akibat kerja-kerja membaiki saluran paip pe­cah oleh pihak konsesi air.

Air yang bertakung lama dan tidak dijaga akan berkeladak.

Kata beliau, kerja-kerja tersebut menyebabkan tanah atau pasir termasuk ke dalam saluran paip yang seteruskan ditakung di dalam tangki air.

“Faktor lain adalah apabila pemilik rumah melakukan ubah suai rumah. Sisa-sisa seperti pasir dan simen termasuk dalam tangki air,” katanya.

Seorang lagi tukang paip di Lembah Klang, Nik Afenzi Nik Muhammad, 50, berkata, masalah tangki air kotor turut berlaku di premis-premis bangunan tinggi.

Beliau yang sudah tujuh tahun berkerja sebagai tukang paip berkata, tangki air yang paling teruk pernah dicuci ialah tangki air di rumah pangsa.

Menurutnya, antara kekotoran yang sering beliau temui di tangki air rumah pangsa adalah kesan lumut dan bangkai burung.

“Ada juga kes yang saya jumpa tangki airnya berselut. Mungkin pihak pemaju tidak mencuci tangki berkenaan ketika kerja-kerja pembinaan.

“Selain itu, ada tangki air rumah yang turut dipenuhi pasir. Paling mengejutkan, saya pernah jumpa kayu dan skru-skru yang sudah berkarat di dalam tangki air. Pemilik rumah hanya sedar tangki air rumah mereka kotor apabila berlaku gangguan bekalan air.

“Apabila tangki sudah kosong dan bekalan air masuk semula ke dalam tangki, kekotoran ini akan timbul dan menyebabkan air paip berkeladak, berbau sehingga menyebabkan badan jadi gatal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan pengalamannya berkhidmat sebagai tukang paip, hanya sekitar 10 daripada 100 pemilik rumah atau unit perniagaan pernah mencuci tangki air mereka sepanjang menduduki premis berkenaan.

“Saya pernah menjalani kursus mengenai tangki air. Mereka syorkan tangki besar seperti di bangunan-bangunan besar dicuci 10 tahun sekali.

“Kalau tangki rumah dalam dua tahun sekali, tetapi kalau ada guna penapis air di luar rumah, boleh cuci antara tiga atau empat tahun sekali,” ujarnya,

Dalam pada itu, tukang paip dikenali sebagai Amy, 35, berkata, kebiasaan bangkai yang ditemui di dalam tangki air tidak bertutup adalah tikus dan burung.

“Rumah lama kebanyakan tangki airnya tiada penutup ke­rana diletak di kawasan terbuka atau penutup telah rosak.

“Tugas kami (tukang paip) adalah buang air dalam tangki itu dan cuci supaya kembali bersih. Kekotoran yang paling kerap dialami di premis adalah air berkeladak,” katanya.

Jelas beliau, air dalam tangki berkeladak adalah disebabkan sudah lama tidak digunakan dan kaedah terbaik mengatasinya adalah menggunakan penapis air luar rumah.

Kata beliau, pemilik rumah juga digalakkan untuk mencuci tangki air mereka terlebih dahulu sebelum merancang untuk membuat pemasangan penapis air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN