SUDAH menjadi impian bagi sesetengah peminat drama Korea untuk mencipta semula estetika tatahias kediaman dari negara kimchi tersebut.
Susun atur rumah berinspirasikan Korea menampilkan suasana damai menerusi pemilihan perabot yang minimalis dan sofistikated.
Konsep itu dapat dilihat menerusi hiasan dalaman salah sebuah kediaman pangsapuri di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.
Pemiliknya, Siti Mas Ayu Ayop dan suami, Ku Mohd. Hidayat Ku Ibrahim menggemari cara orang Korea mengaplikasikan ciri artistik yang mudah pada kediaman mereka.
“Sejujurnya, saya memang sejenis yang suka buat tatahias rumah. Kebanyakan idea tentang susun atur datang daripada saya sendiri.
“Sebagai peminat drama Korea, saya banyak ambil inspirasi daripada gaya mereka kerana ia sesuai dengan kehidupan keluarga kecil kami,” ujarnya.
Jika diamati drama-drama Korea, kebanyakan tatahias mereka memilih untuk menggunakan perabot yang rata dan rendah.
Berada di bawah payung konsep moden minimalis, semua penempatan objek dalam hiasan dalaman Korea kelihatan ringkas dan polos.
Konsep ini jelas diaplikasi ke dalam ruang tamu pangsapuri yang memiliki tiga bilik dan dua bilik air itu.
Sofa pilihan pasangan tersebut menampilkan bentuk segi yang tampak ringkas dan bersih tanpa sebarang corak atau gabungan warna.

Pada bahagian dinding juga dicatkan warna putih tanpa sebarang ciri-ciri tambahan seperti wainscottings atau flute wall.
Rumah tersebut juga tidak menambah ciri-ciri kemewahan seperti candelier atau aksesori berlebih-lebihan.
Menurut wanita berusia 35 tahun itu, ciri-ciri polos itu sesuai dengan kediaman berkeluasan 1,100 kaki persegi (102.2 meter persegi) tersebut.
“Falsafah pada konsep ini adalah untuk menjadikan pangsapuri yang sangat kecil terasa hangat dan selesa.
“Secara keseluruhan, warna putih, hitam dan kelabu mendominasi warna perabot, lampu dan permaidani.
“Saya tambah pokok-pokok tiruan berwarna hijau bagi menaikkan lagi seri rumah ini,” jelasnya.
Penekanan terhadap kesederhanaan turut diterapkan pada ruang makan dan ruang dapur, sekali gus mencetuskan kesinambungan antara ruang.
Pemilihan meja makan separa kayu dengan empat kerusi juga menampilkan reka bentuk yang cukup ringkas.
Di atasnya dihiasi pasu bunga dengan pokok tanpa daun yang dianggap sebagai sentuhan peribadi wanita tersebut.
Keseimbangan itu mewujudkan suasana yang tenang dan mesra sama seperti diidamkan pasangan tersebut.
Konsep sama diterapkan pada keseluruhan rumah kecuali bilik anak kecil mereka yang memiliki ciri-ciri sesuai dengan kanak-kanak.
Kata pemilik kedai dobi itu lagi, mereka menghabiskan sebanyak RM1,000 hingga RM2,500 sahaja untuk menghasilkan dekorasi itu.
“Kami mengambil masa satu hingga dua bulan untuk siapkan tatahias ini kerana saya tukar barang sikit demi sedikit.
“Anggaran kos tak mahal sangat pun sebab semua barang dalam rumah saya, saya beli dari Shopee sahaja,” ujarnya.














