KUALA TERENGGANU – Walaupun kerajaan sudah mengumumkan penurunan harga telur ayam gred A, B dan C sebanyak tiga sen sebiji berkuat kuasa kelmarin, rata-rata kedai runcit dan pemborong di bandar raya ini masih mengekalkan harga lama.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, rata-rata pengusaha kedai runcit dan pemborong terbabit memberi alasan mahu menghabiskan stok lama terlebih dahulu sebelum mematuhi harga baharu telur ayam terbabit.
Salah seorang pemborong yang mahu dikenali sebagai Nur mendakwa, bekalan telur ayam dengan harga baharu hanya akan tiba di premis pemborongnya pada hari ini.
“Buat masa ini saya perlu menghabiskan stok lama pada harga asal iaitu RM13.50 sepapan bagi telur gred A, RM12.90 bagi gred B dan RM12.30 bagi gred C.
“Harga baharu bagi telur gred A ialah RM12.60 sepapan, RM12 (gred B) dan RM11.40 (gred C) akan mula dijual apabila bekalan dijangka sampai esok (hari ini),” dakwanya ketika ditemui di premisnya di Kampung Bukit Besar, di sini semalam.
Kosmo! melaporkan, kerajaan mengumumkan harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C diturunkan 3 sen sebiji berkuat kuasa kelmarin sebagai usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.
Sementara itu, rata-rata pengguna khususnya penjaja menunggu harga baharu telur ayam terbabit dengan penuh sabar.
Seorang peniaga roti canai, Siti Aisyah Yusof, 36, berkata, penurunan harga telur ayam itu membolehkannya memperolehi penjimatan kos bahan mentah sehingga RM10.
“Biasanya saya memerlukan sekurang-kurangnya lima papan telur ayam sehari dengan kos kira-kira RM50 untuk berniaga roti canai.
“Penurunan tiga sen tersebut membolehkan saya berjimat RM10 sehari bagi pembelian telur ayam dalam kuantiti sama,” katanya.
Ujar Siti Aisyah, penurunan harga telur ayam tersebut sedikit sebanyak melegakannya sewaktu harga bahan mentah lain seperti bawang merah, tepung dan minyak masak agak mahal.
Dia juga berharap golongan peniaga dan pemborong bertimbang rasa mematuhi harga baharu telur ayam ditetapkan kerajaan tanpa sebarang alasan atau melakukan aktiviti pencatutan.
Di Shah Alam, seorang peniaga, Fairoz Kunhabamu, 42, berkata, orang ramai tidak boleh menyalahkan peniaga kerana stok telur baharu bagi pelaksanaan tersebut belum diperoleh.
Kata beliau, premisnya sendiri hanya menerima bekalan telur bagi setiap hari Sabtu untuk dua minggu sekali.
“Ini adalah stok lama dan kami pun masih tunggu stok baharu. Kami peniaga tiada masalah untuk menjualnya pada harga ditetapkan, namun beri kami masa untuk jual stok lama dahulu.
“Ada juga tanya, namun saya memaklumkan agar tidak menyalahkan kami sebaliknya tanya kepada pembekal,” katanya.

Seorang pekerja swasta, Lina Aman, 32, berkata, pemantauan dari sudut pembekalan telur lebih efektif perlu dilakukan agar seiring dengan pengumuman bagi masyarakat merasai nikmat penurunan harga.
“Kalau tanya peniaga, mereka cakap pembekal tetapi kita sebagai pembeli hendak ‘tolak’ masalah ini kepada siapa pula.
“Lagipun, telur ini antara sumber protein utama yang digunakan setiap keluarga atau masyarakat dalam sebarang hidangan. Jadi, harap ada tindakan sewajarnya,” katanya.
Pandangan senada turut diberikan seorang lagi pekerja swasta, Fatin Izzati Sanahaji, 20, yang menjelaskan penurunan harga sekali pun 3 sen bagi setiap telur ayam gred A, B dan C memberikan perbezaan ketara pada harga telur.
Ujarnya, ia adalah inisiatif yang bagus terutama bagi golongan B40 yang lebih terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Di Ipoh, seorang peniaga kedai runcit, Abdul Halim Ali, 56, berkata, dia membeli bekalan telur ayam itu dengan harga lama daripada pemborong.
“Saya mengalami kerugian sekiranya dijual dengan harga baru jadi tunggu sahajalah stok baru sampai, baru saya turunkan harga.
“Lagipun, stok telur ayam saya pun hampir kehabisan kerana ramai yang membelinya sempena Aidiladha,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga, Liew Teck Lai, 45, turut bersetuju mengambil langkah untuk menghabiskan stok telur lama terlebih dahulu sebelum mengikuti penurunan harga yang ditetapkan kerajaan.
“Kita tunggu stok baru dan tengok jika memang ada turun harga. Telur ayam memang ramai orang yang beli sebab harga barang lain mahal,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















