fbpx
Salah satu kedai makan yang terdapat di Pantai Teluk Dalam, Pulau Redang, Kuala Nerus.

Caj bot pelancong ke Redang, Lang Tengah naik RM15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Sebahagian pengusaha bot pelancongan di Pulau Redang di sini dan Pulau Lang Tengah, Setiu dikesan sudah mula menaikkan caj pakej trip harian ke dua pulau peranginan tersebut berikutan penyelarasan subsidi diesel pada minggu lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati rata-rata harga pakej trip harian ke Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah telah meningkat kira-kira RM15 daripada kadar asal.

Salah seorang pemandu bot pelancong hanya mahu dikenali Mohd. Ikbal, 28, mengakui pakej trip harian ke Pulau Redang kini berharga RM100 seorang, manakala RM110 pula bagi Pulau Lang Tengah.

Dia memberitahu caj pakej sama ke Pulau Redang sebelum ini ialah RM85 seorang, manakala ke Pulau Lang Tengah pula RM95.

“Kami pengusaha bot pelancong tidak menerima subsidi diesel dan penyelarasan pada minggu lalu menyebabkan kos operasi melonjak sehingga 40 peratus.

“Ia menyebabkan kami terpaksa menaikkan harga pakej trip harian bagi kedua-dua destinasi sebanyak RM15,” dakwanya ketika ditemui di Pulau Redang di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, rata-rata peniaga makanan di Pulau Redang juga bercadang untuk menaikkan harga jualan berikutan peningkatan kos yang perlu ditanggung berikutan penyela­rasan subsidi diesel terbabit.

Salah seorang peniaga makanan, Nor Liyati Jaafar, 37, mendakwa, kos mengangkut bahan mentah ke pulau peranginan itu dari daratan melonjak berikutan penyelarasan subsidi diesel pada 10 Jun lalu.

“Kami penduduk Pulau Redang memang tidak menikmati subsidi bahan api termasuk diesel sejak dahulu lagi.

“Kenaikan harga runcit diesel sehingga RM3.35 seliter sejak seminggu lalu menyebabkan kos pengangkutan bahan mentah ke pulau ini naik sehingga RM150 sekali trip,” dakwanya.

Nor Liyati yang berniaga di Pantai Teluk Dalam, Pulau Redang mendakwa, setakat ini dia dan 10 peniaga lain di pantai peranginan tersebut masih cuba untuk kekalkan harga lama walaupun berhadapan dengan bebanan kos.

“Begitupun sekiranya kos operasi terus melonjak, saya mungkin terpaksa menaikkan harga makanan sekurang-kurangnya RM1 setiap hidangan untuk terus bertahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN