fbpx
JAMAL menunjukkan mesin sembelihan lembu yang digunakan di Colla Cattle Farm (CCF), Kuala Selangor. Tahun ini, mereka menyasarkan melakukan korban 1,500 lembu dalam tempoh empat hari tasyrik.

Mesin sembelih 12 lembu korban dalam sejam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEBIASAANNYA, kita melihat seekor lembu diikat pada keempat-empat kakinya, sebelum beberapa orang akan menarik tali berkenaan untuk menumbangkan haiwan itu ke tanah.

Setelah lembu itu tumbang, akan ada beberapa orang yang memegang haiwan itu agar tidak bergerak bagi membolehkan tukang sembelih melaksanakan tugasnya.
Situasi itu sering kita lihat ketika ibadah korban dilaksanakan.

Kaedah menyembelih lembu secara konvensional untuk ibadah korban bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.

Tambahan pula, jika jumlah haiwan yang hendak dikorbankan itu dalam kuantiti banyak.

Berbeza dengan di Colla Cattle Farm (CCF), Kuala Selangor, Selangor yang menggunakan kaedah moden untuk melaksanakan proses penyembelihan lembu korban.

Ketua pegawai eksekutifnya, Jamal Abdul Karim berkata, pihaknya menggunakan mesin penyembelihan khas yang dibeli dari China untuk tujuan tersebut.

Menurutnya, sebelum ini, sejam diperlukan untuk menumbangkan seekor lembu bagi tujuan penyembelihan secara konvensional.

“Namun, dengan mesin ini, urusan penyembelihan menjadi lebih mudah dan kami boleh menyembelih antara 10 hingga 12 ekor lembu dalam tempoh sejam, siap dengan potong kecil-kecil.

“Kami harus menyelesaikan kerja-kerja penyembelihan ibadah korban dalam kuantiti yang banyak ini dalam tempoh empat hari tasyrik.

“Mesin ini membantu memudahkan urusan kami,” katanya.

CCF turut menawarkan lembu untuk mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban. – Foto AFIQ RAZALI

Bagi melaksanakan penyembelihan, lembu yang hendak dikorbankan akan berjalan masuk ke dalam mesin tersebut mengikut laluan disediakan.

Kemudian, setelah lembu berada dalam keadaan selesa, mesin tersebut akan mengepit haiwan berkenaan bagi memastikan ia tidak bergerak.

Seterusnya, mesin itu akan berpusing dan lembu berkenaan akan berada dalam keadaan terbalik, di mana kepala di bahagian bawah, sebelum tukang sembelih melaksanakan tugasnya.

Mengulas lanjut, Jamal berkata, pada Hari Raya Aidiladha, mesin itu akan beroperasi selama 24 jam bagi membolehkan kesemua lembu korban dapat disembelih.

Terangnya, pada tahun ini, pihaknya akan menyembelih hampir 1,500 lembu korban.

“Seramai 100 orang akan terlibat untuk membantu melancarkan urusan korban ini. Mereka akan dipecahkan kepada dua waktu kerja.

“Mereka ini terlibat dalam proses penyembelihan dan pemotongan daging korban,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jamal menjelaskan, dia dan rakan kongsinya, Datuk Amirul Rahman Abdul Rahim telah menubuhkan CCF sejak 2017 lagi.

Pada mulanya, mereka memulakan ladang itu dengan menyewa kandang orang lain terlebih dahulu.

Pada tahun itu juga, mereka menjual lebih 200 ekor lembu untuk ibadah korban.

Jumlah permintaan lembu korban mereka bertambah dari tahun ke tahun.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak masjid dan surau tidak dapat melaksanakan ibadah korban, jadi CCF telah menjadi tuan rumah untuk Program Korban Perdana.

“Pada program tersebut, kita menyembelih sebanyak 799 ekor lembu dalam masa empat hari.

“Pada tahun lalu, permintaan untuk ibadah korban sedikit berkurang, tetapi pada tahun ini, ada pertambahan. Kami akan menyembelih hampir 1,500 ekor lembu kali ini.

“Misi kami pada tahun ini adalah untuk mengedar sebanyak 40,000 bungkus daging korban kepada golongan asnaf,” ujar Jamal.

JAMAL (kanan) bergambar dengan mereka yang melaksanakan ibadah korban.

Dalam pada itu, cabaran utama yang dihadapi adalah untuk memastikan haiwan korban selesai disembelih dalam tempoh empat hari tasyrik.

Jamal menjelaskan, pihaknya perlu pastikan sebelum waktu maghrib hari raya keempat, semua proses penyembelihan telah selesai.

“Ada satu tahun, pada hari terakhir tasyrik ketika pukul 4 petang, kami ada lagi 80 ekor lembu yang belum disembelih.

“Namun, kami berjaya menyelesaikannya sebelum waktu berakhir.

“Cabaran lain adalah untuk memastikan mental dan fizikal para pekerja sentiasa bersedia sepanjang tempoh itu.

“Malah, dalam tempoh empat hari itu, saya dan pasukan pengurusan harus berjaga dan hanya ‘tidur-tidur ayam’ bagi memastikan semua urusan ibadah korban berjalan lancar,” ujarnya.

Sementara itu, antara sebab mereka menyediakan rumah sembelihan yang menggunakan mesin adalah untuk memudahkan pelaksanaan ibadah korban.

Jamal menjelaskan, dahulu orang akan membeli lembu hidup dan membawanya ke masjid atau surau untuk dilaksanakan ibadah korban.

Bagaimanapun, kini tidak ramai generasi muda yang sanggup turun membantu dan pihak masjid atau surau kekurangan tenaga untuk kerja-kerja penyembelihan dan melapah.

“Dari situ, tercetus niat saya untuk membantu memberi jalan penyelesaian buat kariah saya dan mereka yang tidak sempat untuk berbuat demikian.

“Mereka boleh membeli lembu korban dengan kami dan kami akan membantu menyembelih, melapah dan potong kecil-kecil.

“Kami juga akan membantu mengedarkan daging korban kepada golongan asnaf yang layak,” terangnya.

Dalam pada itu, Jamal berkata, CCF kini mempunyai lima ladang ternakan bagi memenuhi permintaan pasaran sama ada untuk ibadah korban atau hari-hari biasa.

Ini kerana, pihaknya turut memasarkan daging tempatan di kedai milik sendiri di Shah Alam dan beberapa pasar raya terpilih bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Lima ladang ternakan CCF terletak di Kuala Selangor, Kulim (Kedah), Taiping, (Perak) dan dua ladang lagi di Thailand.

Bagi membolehkan lebih ramai masyarakat memilih melaksanakan ibadah korban di dalam negara, Jamal mempunyai perancangan untuk menyediakan pakej bayaran secara ansuran.

“Sebenarnya, kami sudah merancang untuk melaksanakan kaedah ini, namun masih belum berjaya direalisasikan.

“Bagaimanapun, setelah berakhir ibadah korban pada tahun ini, kita akan melaksanakan kempen bayaran secara ansuran.

“Ia bagi membantu lebih ramai orang melaksanakan ibadah ini di tanah air sendiri pada tahun hadapan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN