SIK – Hari Raya Aidiladha yang diraikan di seluruh negara hari ini terpaksa disambut dalam suasana berbeza oleh seorang bapa selepas dia kehilangan dua anak lelaki yang maut dalam nahas jalan raya di Jalan Teroi Tito Lahar, Yan kelmarin.
Mohd. Delmi Mat Isa, 54, berkata, berita kematian Muhammad Zulqarnain, 22, dan Ahmad Firash, 11, itu juga sangat sukar untuk diterima oleh keluarganya lebih-lebih lagi apabila mereka sudah bersiap sedia untuk meraikan satu lagi perayaan utama bagi umat Islam.
Mahu sambut Aidiladha pun sudah tidak bersemangat selepas kehilangan dua anak serentak.
“Kejadian itu memang perit untuk diterima kerana kami diuji dengan takdir seberat ini ketika seluruh rakyat bergembira untuk meraikan Aidiladha.
“Walaupun reda, sebagai bapa saya akui kejadian ini memberi kesan yang sangat mendalam kepada kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Charuk Tala, Jeniang semalam.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam kelmarin, dua beradik itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan dan kepala.
Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Vios dipandu warga emas dari arah Gurun ke Yan cuba memotong dengan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal dinaiki dua beradik itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Delmi yang juga pemandu bas berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan dua anaknya itu ialah pada pukul 10 pagi kelmarin ketika mereka mahu bersiap untuk keluar memancing di Sungai Dedap.

Katanya, Muhammad Zulqarnain merupakan anak ketiga, manakala Ahmad Firash pula anak kelima daripada enam beradik.
“Sangat sedih kerana tidak halang mereka memandangkan Ahmad Firash demam. Lagipun, saya sudah berjanji untuk membawanya menggunting rambut sebagai persiapan menyambut hari raya.
“Ketika itu, saya hanya sempat memberinya makan ubat dan menyuruh segera pulang ke rumah kerana seorang kakaknya mahu membawa mereka ke pekan untuk membeli pakaian raya,” katanya.
Tambahnya, dia juga sedih apabila berita kejadian yang menimpa dua anaknya itu hanya diketahui daripada seorang kawan yang datang ke rumahnya selepas solat maghrib.
“Hilang semua semangat selepas menerima perkhabaran itu dan ibu mereka juga turut menangis selepas menerima panggilan telefon daripada polis.
“Sebaik sampai di Unit Forensik Hospital Yan, saya dan isteri hampir pengsan melihat dua jasad anak kami terbaring kaku. Sukar untuk melupakan kesedihan ketika itu,” tambahnya.
Kata Mohd. Delmi, dua anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Maarifi di Jeneri pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berumur 61 tahun dari arah Gurun ke Yan cuba memotong di laluan berkenaan sebelum berlaku kemalangan.
“Toyota Vios itu dikesan memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal dinaiki dua beradik yang dalam perjalanan dari Yan ke Gurun menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dan maut serta-merta di lokasi kejadian.
“Pemandu kereta terbabit yang tinggal di Perumahan Awam 2, Pantai Murni dan merupakan seorang pekerja sebuah kedai pajak gadai di Gurun hanya mengalami kecederaan sakit di bahagian dada,” katanya.
Kata Shahnaz, impak kemalangan itu menyebabkan motosikal dinaiki dua beradik itu rosak teruk, manakala Toyota Vios berkenaan turut remuk di bahagian hadapan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
















