PETALING JAYA – Beberapa barangan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan akan mengalami kenaikan harga sehingga 25 peratus ekoran penarikan semula subsidi diesel sejak Isnin lalu.
Mendedahkan perkara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Kelas F (Perkobf) Malaysia, Tukiman Radion berkata, kenaikan itu akan bermula selepas stok lama kehabisan di kebanyakan pembekal.
Dakwanya, ada sesetengah perkhidmatan berkaitan pembinaan telah mula naik sejak hari pertama penarikan subsidi itu dilaksanakan.
“Sebagai contoh, harga sewa ‘backhoe’ (jentolak) telah naik dari RM450 kepada RM550 iaitu kenaikan RM100, ini yang dilaporkan di pantai timur.
“Tong ‘roro’ yang biasanya kita gunakan untuk mengangkut sampah dan sisa pepejal bahan binaan juga telah naik RM50 iaitu dahulunya sewa RM200 sekarang jadi RM250,” katanya kepada Kosmo!.
Tukiman menambah, paling ketara kenaikan ketika ini adalah melibatkan perkhidmatan lori tiga tan yang digunakan untuk mengangkut bahan binaan iaitu daripada RM450 kepada RM700.
Mengulas lanjut, Tukiman berkata, bahan-bahan binaan lain juga akan mengalami kenaikan selepas ini antaranya seperti atap genting, simen, paku dan beberapa barangan lain.
“Antara yang akan naik lagi termasuk bata simen yang dahulu harganya sekitar RM180 kepada RM230 setiap pallet. Begitu juga batu tiga suku, di Kedah telah naik RM3 satu tan,” katanya.
Justeru, beliau mewakili kira-kira 66,678 kontraktor di bawah Perkobf berharap agar kerajaan terutamanya pihak Kementerian Kewangan mengapungkan semula harga setiap projek atau tender yang dikeluarkan.
“Kita mahu sebut harga sesuatu tender atau projek itu tidak terikat dengan jadual harga sedia ada, tetapi mengikut harga bahan binaan serta perkhidmatan semasa.
“Jadual kadar harga yang telah ditetapkan sebelum ini tidak boleh diguna pakai ekoran kenaikan harga bahan binaan dan perkhidmatan ketika ini. Kami rugi teruk,” rintihnya. -KOSMO! ONLINE














