BALIK PULAU – Pengusaha kebun durian di daerah ini kini ibarat mendapat ‘durian runtuh’ apabila mereka tidak menang tangan menerima kehadiran pelanggan termasuk ada yang sanggup terbang dari Shanghai, China semata-mata mahu menikmati raja buah itu.
Suasana meriah diserbu ‘kaki durian premium’ itu bermula sejak awal musim buah durian di Balik Pulau luruh iaitu pada 1 Jun lalu.
Seorang pemilik kebun yang mahu dikenali sebagai Kent, 35, berkata, dia sangat terkejut apabila menerima kehadiran pelancong dari China ke dusun dan gerai durian milik keluarganya di daerah Barat Daya.
Katanya, kebanyakan pelanggan datang terus ke Pulau Pinang bersama keluarga dan rata-rata daripada mereka memilih durian jenis duri hitam atau black thorn berbanding musang king.
“Mereka akan datang bersama ibu, ayah dan anak dan biasanya akan habiskan kira-kira tujuh hingga lapan biji duri hitam dengan jumlah keseluruhan harga buah mencecah RM1,500.
“Selain itu, ada juga pelancong dari China yang datang berkumpulan sehingga 10 orang. Bagi pelanggan seperti ini, mereka akan menempah 20 biji black thorn yang berharga RM3,500,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Difahamkan, kos perbelanjaan bagi pembelian tiket penerbangan dari Shanghai, China ke Pulau Pinang serta kos makan durian untuk tiga beranak adalah kira-kira RM6,000.
Menurut Kent lagi, selain pelanggan dari China, dia turut menerima kehadiran tetamu dari Australia dan Singapura.
Jelasnya, sebiji duri hitam mengandungi lima ulas durian, manakala harga pasarannya pula adalah sekitar RM150 hingga RM250 sebiji dengan anggaran berat dua kilogram setengah.
“Pelancong asing dikatakan lebih menggemari dua durian klon dari Balik Pulau iaitu duri hitam dan musang king meskipun terdapat banyak lagi variasi durian di daerah ini.
“Tahun ini, duri hitam masih kekal nombor satu di antara semua raja buah seluruh dunia.
“Selain itu, mereka turut mengakui kelazatan buah durian di Balik Pulau kerana ditanam oleh para petani secara generasi berbanding di negara mereka yang diuruskan kompeni-kompeni besar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pengeluaran buah durian di Balik Pulau tahun ini bertambah meskipun terkesan dengan cuaca panas berpanjangan.
“Buah durian khususnya duri hitam memang menjadi dan kemungkinan harganya akan turun sebelum pertengahan bulan ini.
“Penurunan harga buah akan berlaku sejajar dengan promosi buah durian Balik Pulau yang dilaksanakan pelbagai pihak bagi tujuan memperkenalkan keunikan raja buah dan sektor pelancongan di negeri ini.
“Ketika ini, kira-kira 700 wakil pelancong sudah membuat tempahan durian untuk membawa pelancong asing secara berkumpulan menikmati buah durian di Balik Pulau pada pertengahan bulan ini,” tambahnya lagi.















