fbpx
Dolla kini setia dianggotai Angel (kiri sekali), Sabronzo dan Tabby.

Dolla enggan toleh belakang, berpijak di bumi nyata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERTENGAHAN Mei lalu nama Dolla hangat diperkatakan apabila muncul bintang baharu, Ella Thong mengeluarkan kenyataan ‘berani mati’ tidak langsung mengenali kumpulan tersebut.

Pantas sahaja hal tersebut tular di gelanggang media sosial sehingga ada menyifatkan kenyataan tersebut bersifat angkuh dan sombong.

Namun, hal sebegitu dianggap kesilapan biasa yang berlaku sementelah setiap manusia juga bukan sempurna.

Kata Tabby, perbuatan tersebut dapat menjadi pengajaran buat mereka agar lebih berhati-hati pada kemudian hari.

Dolla bakal mempersembahan kesemua lagu nyanyian mereka sepanjang 90 minit persembahan konsert Dolla Re:Birth The Experience.

Sama seperti pegangan Dolla yang lebih senang mengamalkan sifat rendah diri dan sentiasa menjaga hubungan sesama kenalan industri.

“Pada pandangan kami, hal itu bukanlah masalah besar memandangkan mereka juga masih baharu dalam industri ini. Harap pada masa depan dia akan dapat belajar.

“Kami sendiri masih baharu dalam industri. Jadi untuk memberi nasihat, rasanya (kami) bukan orang yang sesuai.

“Tetapi apa yang boleh dikatakan, paling utama tahu apa yang ingin mereka lakukan dan buat dengan sepenuh hati. Amalkan rasa rendah diri dan berbaik dengan orang lain,” ujarnya seraya melemparkan tersenyum.

Konsert solo

Melanjutkan perbualan mengenai persembahan yang bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur 3 Ogos depan, Dolla buat julung kali tampil dengan konsert sulung mereka iaitu Dolla Re:Birth Experience.

Bakal membuat persembahan sekitar 90 minit, kumpulan yang dianggota oleh tiga dara jelita iaitu Sabronzo, Tabby dan Angel itu akan mempersembahkan hampir kesemua lagu mereka nanti.

“Kami akan mempersembahan kesemua lagu yang ada memandangkan terdapat banyak lagu yang belum pernah dipersembahkan secara ‘live’ di depan penonton.

“Beberapa penyusunan muzik dan koreografi tarian akan diubah bagi memberikan pengalaman baharu kepada peminat,” kata Tabby.

Mengulas mengenai tajuk konsert, Sabronzo memberitahu, pemilihan rebirth yang membawa maksud kelahiran semula itu merupakan cerminan kepada kumpulan tersebut yang bakal tampil dengan gaya dan pesona baharu.

“Kata rebirth itu dipilih sebagai simbolik kepada evolusi Dolla dan langkah berikut kami dengan imej Dolla yang lebih matang.

“Ini juga akan menjadi kejutan kepada penonton yang bakal hadir ke konsert kami nanti. Malah konsert itu juga akan ada beberapa perubahan bagi menampilkan kelainan,” terangnya.

Selepas berjaya mencipta nama menerusi program televisyen China, Show It All, Dolla berazam untuk memperluaskan lagi pengaruh muzik mereka di negara Nusantara dan Asia Tenggara.

Terdapat empat kategori tiket konsert Dolla yang boleh dibeli di www.hitmanlive.com iaitu Classic pada harga RM149, Impikan (RM259), Damelo (RM199) dan Bo$$ Up (RM9,888).

Menariknya, peminat akan mendapat pelbagai barangan menarik bagi setiap pembelian tiket termasuk ‘light stick’ manakala tiket Bo$$ Up pula membolehkan mereka hadir ke acara ramah mesra bersama Dolla.

Takluk Nusantara

Dalam pada itu, konsert tersebut turut menjadi batu loncatan buat Dolla mengembangkan lagi sayap mereka ke persada muzik antarabangsa.

Meletakkan sasaran untuk meneroka pasaran negara Asia Tenggara, Dolla menanam impian untuk membuat persembahan di Thailand dan Indonesia.

“Sasaran kami pada masa hadapan untuk pergi ke Nusantara dan mengeluarkan album baharu. Tambahan, pada konsert itu juga kami akan pertama kalinya memperdengarkan single terbaharu.

“Persembahan di Zepp Kuala Lumpur itu sebagai satu permulaan. Diharapkan peminat dari Singapura juga dapat hadir sama. Konsert ini juga merupakan langkah awal kepada beberapa perancangan besar lain,” jelas Sabronzo atau nama lengkapnya Wan Sabrina Wan Rusli.

Bagi memastikan usaha mereka membuahkan hasil, Dolla memastikan setiap masa terluang dapat diisikan dengan sesi latihan persembahan untuk konsert tersebut.

Selain latihan, Dolla juga menonton beberapa persembahan daripada beberapa penyanyi popular antarabangsa seperti Fifth Harmony dan Little Mix sebagai rujukan agar dapat memberikan yang terbaik buat peminat.

“Tidak mengira sama ada artis K-pop ke kumpulan barat.

“Kami melihat persembahan mereka cuba untuk mencari idea agar dapat mempamerkan kreativiti.

“Apa yang boleh dikatakan pada konsert itu, kami akan menyediakan beberapa set pentas yang menggambarkan perjalanan kerjaya Dolla dari awal sehingga sekarang,” terang Tabby.

Asimilasi bahasa

Tidak hanya bercerita tentang konsert dan perancangan masa depan, Dolla turut tidak terlepas daripada berhadapan dengan pertanyaan tentang lagu baharu dalam bahasa asing lain selepas menyaksikan kejayaan Damelo yang mendunia ke serata negara.

Selepas menarik perhatian menerusi program televisyen di China, Show It All, single Look At This turut menjadi lagu latar dalam salah satu adegan dalam program realiti Korea Selatan, The Return of Superman baru-baru ini.

Kejayaan itu tentu sahaja mula meletakkan nama Dolla setaraf dengan bintang terkenal lain. Malah, mereka juga mempunyai beberapa lagu Inggeris dan gabungan bahasa Melayu dan Sepanyol.

Meskipun hanya bertiga, Dolla tetap optimis dan agresif dalam menghasilkan karya berkualiti sekali gus komited meletakkan diri pada paras lebih tinggi. – FARIZ RUSADIO

Justeru, ketika ditanya sama ada ingin menghasilkan lagu dalam bahasa Mandarin, jawab Tabby mewakili Dolla: “Mungkin itu sebahagian daripada perancangan masa depan.

“Kita lihat bagaimana hasilnya nanti.”

Biarpun bakal membuat persembahan tanpa bekas ahli, Syasya, Dolla tetap fokus dan berusaha untuk memberikan yang terbaik pada konsert itu nanti.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kami mahu fokus persembahan secara bertiga.

“Kami ingin perkukuhkan keserasian dan kreativiti tidak kira untuk persembahan atau apa sahaja aktiviti bersama,” ujar Tabby mengakhiri bicara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN